`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 21, 2014

Kuasa Wanita dan persiapan raya...!!

Wanita dan persiapan raya

JARI telunjuk kanan menggosok-gosok alis mata yang seakan liat untuk terbuka. Tangan satu lagi pula masih memintal anak rambut yang mengurai ke bahu. Kusut masai. Malam tadi tidur lewat. Kalau boleh tak mahu tidur langsung selepas dengar pengumuman raya di televisyen tadi.

Entah bila tertidur pun tidak sedar. Tahu-tahu, bersama sepupu sepapat enak tergolek tidur bergelimpangan di ruang tamu.

“Bangunlah anak-anak bertuah oi, hari ini raya!” jerit mak dari dapur. Tangan kanan mak dan siap pegang kain batik untuk dilibas ke arah kami yang liat bangun Subuh. Belum sempat emak sampai, masing-masing melompat sambil menjerit “Yeay!!!” langsung berasak-asak lari ke dapur, berebut bilik air.

Ahh, itulah momen indah zaman kanak-kanak saya menyambut hari raya Aidilfitri. Anda juga tidak terkecualikan? Setiap kali raya, kanak-kanaklah makhluk paling gembira dalam dunia.

Meski pun tidak berapa faham istilah perayaan, sama ada Aidilfitri mahu pun Aidiladha, merekalah yang paling teruja. Dan pastinya ibu bapa juga ikut teruja melihat anak-anak ketawa.
Persiapan mula dibuat ibu bapa untuk mencari duit lebih dan pendapatan sampingan untuk membahagiakan seisi keluarga dan tanggungan mereka. Masa kecil, lazimnya setiap kali musim perayaan keluarga saya sudah balik kampung di Sungai Burong Kuala Selangor sehari atau dua hari lebih awal. Sepupu-sepapat saya juga begitu.

Emak dan ibu-ibu saudara akan sibuk membantu nenek buat ketupat sebelanga. Periuk besar dan kawah turut digunakan untuk memasak rendang dan ketupat. Kami orang Banjar keluarga besar. Adik-beradik emak yang tujuh orang semuanya beranak ramai. Keluarga saya sahaja dah 12 adik-beradik! Kami berkumpul di rumah nenek ibarat sebuah kampung. Meriah!

Saya, kakak-kakak dan abang- abang sepupu pula akan ambil lebihan buluh yang digunakan abah dan bapa saudara untuk buat lemang. Kami buat jamung, buat meriam dan lampu pelita guna buluh. Susun banyak-banyak dan nyalakan. Terang benderang halaman rumah nenek.

 Lepas main mercun dan bunga api warna-warni, tenaga kami dikerah pula untuk tunggu lemang di bara sampai jam 2,3 pagi. Walau pun nenek tahu kami cuma main-main dan bukan tunggu sangat pun, nenek arah juga. Sekurang-kurangnya esok bolehlah nenek kata, ini lemang Lala, ini lemang Khairil, ini lemang Angah. Tersengeh-sengehlah kami kerana dipuji. Hi hi hi...


Berubah setiap tahun

Terlalu rindu momen itu. Sekarang, nenek dah tiada. Bapa saudara dan ibu saudara pun ada yang dah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah untuk mereka yang pernah membahagiakan.
Raya saya pada zaman kanak-kanak tidak pernah sepi dari keriuhan dan gurau senda saudara mara. Dan saya percaya pembaca juga begitu. Punya kenangan masing-masing.

Seiring perjalanan waktu, sesungguhnya saban tahun, sambutan dan persiapan Aidilfitri itu berubah mengikut perkembangan teknologi dan kemajuan infrastruktur negara.

Kalau dahulu biskut raya dan juadah utama seperti rendang dan ketupat dimasak sendiri oleh ibu bapa dan keluarga, namun kini ia lebih senang dibeli kerana kemajuan negara menuntut setiap ibu juga bekerja.

Masa itu menjadi amat berharga bagi setiap wanita berkerjaya. Di saat-saat akhir Ramadhan, kaum ibu bekerja mula mencuri masa dan tumpuan untuk persiapan raya.

Membeli pakaian untuk anak-anak dan diri sendiri serta suami. Juga ada yang berbelanja untuk biskut raya. Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan sekitar Chow kit pastinya menjadi lokasi tumpuan paling popular di ibu kota setiap kali musim perayaan.

Murah, cantik dan segala-galanya ada! Tapi, punyalah sesak. Nasib baik pada zaman milenium ini corak dan gaya perbelanjaan berubah merentasi sempadan. Masyarakat mula membeli belah menerusi talian maya. Kaedah membeli barang-barang persiapan hari raya menjadi mudah dan pantas apabila membeli belah menerusi internet.

Banyak laman web perdagangan diwujudkan bagi golongan yang memilih untuk berbelanja menggunakan kaedah ini. Terpulang anda menyesuaikan diri dengan kaedah mana yang menjadi pilihan. Minggu ini, sebagai persediaan menghadapi Aidilfitri, WOW mengetengahkan isu wanita dan persediaan raya untuk tatapan pembaca. Panduan dan tip berhari raya turut dikongsi di halaman pendapat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.