`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 11, 2014

Peguam Dedah Karenah Putrajaya Kerana Tidak Menghantar Muhammad Rizalman Ke New Zealand


Peguam Malaysia mempersoalkan rasional Putrajaya menahan Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail untuk ujian psikologi, kerana berpendapat hanya mahkamah perbicaraan di New Zealand boleh memerintahkan pemeriksaan mental dilakukan ke atasnya.

Mereka berpendapat Putrajaya hanya memperkecilkan sistem kehakiman New Zealand dengan tindakannya menangguhkan penghantaran pulang tentera itu untuk menghadapi dakwaan cubaan merogol dan merompak di Wellington.

Peguam M Visvanathan berkata, pembantu staf pertahanan berusia 38 tahun itu mesti dihantar balik untuk perbicaraan kerana dia didakwa atas dua kesalahan.

"Rakyat New Zealand berfikiran adil. Saya pasti dia akan mendapat perbicaraan yang adil di sana," katanya kepada The Malaysian Insider.
Kumpulan kedua pakar psikologi dilaporkan sedang menjalankan pemeriksaan ke atas Rizalman di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Kesihatan mental Rizalman dikatakan perlu diperiksa supaya ia boleh diterima pakai di mahkamah New Zealand.

Visvanathan berkata, penahanan Rizalman di hospital umpama ejekan kepada mahkamah New Zealand kerana hasilnya sangat kecil atau mungkin tidak bernilai langsung.

"Kita mempertaruhkan kewibawaan kita dengan menangguhkan penghantaran pulangnya. Kita dilihat mencabar sistem perundangan dan kehakiman New Zealand," katanya.

Peguam S N Nair berkata, Rizalman perlu melalui proses yang tertentu, dan dia tidak bersalah sehingga dibuktikan.

"Putrajaya mesti mendapatkan peguam untuk Rizalman di sana yang akan memohon kepada mahkamah seorang pakar menilai keadaan mentalnya," katanya.

Katanya, laporan doktor tempatan tidak signifikan kerana Rizalman akan tertakluk kepada kod prosedur jenayah New Zealand.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad berkata, laporan doktor tempatan boleh dikemukakan di mahkamah New Zealand.

"Saya percaya penyiasat New Zealand juga akan menghantar Rizalman ke hospital di sana dan satu laporan akan dikemukakan di mahkamah," katanya.

Katanya, peguam Rizalman boleh juga menyerahkan laporan doktor dari hospital tentera di sini.

"Laporan doktor merupakan satu pendapat. Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada ia berwibawa atau tidak," katanya.

Pada Ahad 6 Julai, hari di mana Rizalman sepatutnya dihantar pulang, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata tarikhnya masih belum diputuskan kerana keadaan kesihatan mental dan emosinya masih dalam pemerhatian.

Penghantaran pulang Rizalman ditangguhkan buat sementara waktu selepas doktor mengarahkan satu lagi ujian psikologi ke atasnya kerana dia kelihatan mengalami masalah mental dan kemurungan.

Kes itu menjadi topik utama media Malaysia dan New Zealand apabila Rizalman pulang ke Malaysia atas imuniti diplomatik walaupun dia ditahan pada 9 Mei untuk cubaan merompak dan merogol.

Dia didakwa di mahkamah keesokan harinya.

Malaysia dilaporkan meminta New Zealand menggugurkan semua dakwaan ke atas Rizalman.

Bagaimanapun, Putrajaya kemudiannya berkata, Rizalman akan dihantar pulang, selepas pada mulanya menolak permintaan kerajaan New Zealand untuk mengetepikan imuniti diplomatiknya.


Tania Billingsley, 21, yang mendakwa Rizalman menyerangnya di rumahnya, berkata suspek meninggalkan negara itu di luar kehendaknya dan dia merasakan pihak berkuasa New Zealand tidak bersungguh dalam mengendalikan kesnya. ~tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.