`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 14, 2014

SAINS berjaya kesan kes curi air di Seremban

pemyambungan paip curi airSEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menjalankan satu serbuan ke atas sebuah premis yang disyaki dalam kes curi air di Seremban pada 2 Julai 2014.
Operasi serbuan telah diketuai oleh pegawai SPAN iaitu Mohadir Hid dari Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN (BHEPPP SPAN) dan Unit Penguatkuasaan SAINS.
Penolong Pengurus Unit Komunikasi Korporat (SAINS), Norzita Ismail berkata, satu serbuan ke atas sebuah premis yang merupakan rumah kedai tiga tingkat, telah dijalankan pada jam 1.30 petang pada hari tersebut.
“Ketika serbuan, pihak penguatkuasa mendapati penghuni premis telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 mm.
“Air yang diperolehi daripada penyambungan tidak sah itu didapati digunakan untuk kegunaan harian penghuni premis tersebut.
“Para pegawai penguatkuasa SAINS telah menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS.
“Pihak SPAN telah menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti,” jelas Norzita.
Norzita berkata kes disiasat dibawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air yang memperuntukkan denda sebanyak RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Operasi tersebut tamat pada jam 3.30 petang pada hari yang sama.
“Sehubungan itu, SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira sama ada kes berkenaan melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.
“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).
“SAINS terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat yang bersama-sama SAINS dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini.
“Justeru itu, para pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982.
“Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak SAINS,” kata Norzita.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.