`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, July 9, 2014

Tragedi 13 Mei : Modal Umno BN Untuk Menakut-Nakutkan Rakyat

Ugut ulang semula tragedi 13 Mei, Muhyiddin kebal undang-undang
Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaikan kebal daripada tindakan undang-undang meskipun membuat kenyataan ugutan bahawa tragedi 13 Mei akan berulang semula.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail banyak kali melindungi pemimpin Umno yang membuat kenyataan perkauman.

“Berbeza dengan pemimpin Pakatan, jika mereka kritik dasar kerajaan, terus dipanggil untuk disiasat. Kenapa tak buat perkara sama kepada Muhyiddin?” soal Surendran.

Timbalan Perdana Menteri itu baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 mungkin tercetus semula sekiranya hubungan kaum tidak dipelihara.

Menurut Surendran, ia bukan pertama kali pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan ugutan sedemikian.


                               Amaran 13 Mei: Jangan cetus api perkauman

WALAUPUN telah lama berlalu, peristiwa hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969 masih menjadi modal bagi Umno-BN untuk menakut-nakutkan rakyat.

Terbaharu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mengingatkan rakyat tentang kebarangkalian berulangnya peristiwa hitam itu dilihat sebagai sesuatu yang kurang wajar.

Kenyataannya itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menyatakan rasa kurang senangnya dengan kenyataan Muhyiddin itu.

Yang berikut pernyataan penuh beliau.

1. Kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin minggu lalu yang menyatakan bahawa tidak mustahil Peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang sangat menyinggung perasaan dan menggusarkan hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

2. Sekalipun kenyataan itu mungkin bertujuan sebagai satu peringatan, ia tetap menimbulkan persoalan dan gambaran di sisi rakyat bahawa YAB TPM melihat sejarah tragedi hitam negara itu masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak kerajaan sehingga membuat andaian kemungkinan berulangnya peristiwa hitam itu pada masa akan datang.

3. Lebih membimbangkan jika kenyataan itu dikaitkan pula dengan kenyataan-kenyataan konsisten pemimpin-pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri sendiri yang turut mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan prejudis terhadap bangsa- bangsa lain khususnya pasca PRU13.

4. Pada masa yang lain pula, pihak radikal kaum tertentu terus dibiarkan subur dan lantang mengapi-apikan semangat perkauman menggunakan premis membela nasib kaum sendiri sehingga membelakangkan prinsip hormat-menghormati dan toleransi antara satu sama lain dalam kerangka demokrasi sehingga boleh menjejaskan keharmonian perpaduan antara kaum.

5. YAB TS Muhyiddin Yasin harus sedar bahawa peristiwa berdarah itu sangat pahit dan sensitif untuk diungkap semula, dan jika ia bertujuan sebagai penceritaan sejarah dan peringatan, maka ia mestilah dalam ajakan ke arah keharmonian, bukan berbaur apatah bermotif ugutan terhadap bangsa lain.

6. Islam konsisten menolak faham perkauman sempit dan sebarang usaha menjadikannya asas perjuangan adalah seperti menghidupkan kembali bangkai jahiliyah yang telah dikuburkan oleh baginda al-Rasul semenjak lebih seribu tahun lepas. Islam sebaliknya menyeru kepada perpaduan kaum dan rakyat dengan menjadikan nilai-nilai manusiawi yang tinggi dan mulia sebagai matlamat dan penyatu kepada keamanan sejagat.

7. Saya menuntut agar YAB TPM menjelaskan semula kenyataan beliau sebelum ini kepada rakyat Malaysia agar segala kebimbangan terlerai. Kerajaan juga harus memperbetulkan prinsip dan polisi kerajaan agar lebih mesra perpaduan kaum dan dapat mengukuhkannya.


                            Pakatan sedia kerjasama dengan BN elak ‘13 Mei’

Pakatan Rakyat sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Umno-BN bagi memastikan insiden 13 Mei 1969 tidak berulang lagi di Malaysia, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Namun, Pakatan tidak akan sama sekali membiarkan sebarang ugutan pengulangan insiden itu dibuat bagi menakut-nakutkan rakyat, tambahnya lagi.

“Saya akan menjadi orang pertama yang memuji Tan Sri Muhyiddin Yassin jika dia bercakap sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi seluruh rakyat Malaysia, tentang pentingnya menjaga perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Sebaliknya beliau memberi amaran untuk satu lagi ‘13 Mei’ jika hubungan antara kaum terus memburuk kerana Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Utusan Malaysia 5 Julai lalu menyiarkan kenyataan Muhyiddin yang memberi amaran insiden itu akan berulang kembali jika perpecahan antara kaum terus berlaku.

Dalam laporan itu juga, Muhyiddin cuba menggambarkan kedudukan Melayu dan Islam kini terancam, apabila berkata beliau “setiap malam sebelum tidur memikirkan macam mana hendak uruskan negara” kerana ada menghantar sms, “apa hendak jadi dengan Melayu, kenapa Islam dihina dan hal-hal sama.”

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berat sebelah, Kit Siang mempersoalkan motif Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu.

“Adakah Melayu dan Islam di Malaysia diserang masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam sehingga memungkinan pengulangan 13 Mei?

“Jika tidak benar, mengapa TPM bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama mengeluarkan amaran itu, kononnya kerana hal-hal itu (serangan) sememangnya berlaku dan membimbangkan?” soalnya.

Namun, katanya lagi, sekurang-kurangnya kerajaan mengakui bahawa perpaduan negara semakin terjejas, dan menggesa kerajaan segera mencari jalan memastikan ia tidak berlarutan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang dilaporkan berkata, ketegangan semakin meningkat ekoran isu yang dibahagikan antaranya mengikut kaum, agama dan ekonomi.

“Namun, adakah kabinet (dalam mesyuarat) esok menamatkan dasar ‘tidak buat apa-apa’ sehingga membenarkan perkara itu terjadi, dan mula mengutamakan bagaimana memastikan insiden 13 Mei tidak lagi berlaku?” katanya lagi.

Muhyiddin TPM kepada seluruh rakyat Malaysia

Dalam pada itu, Naib Presiden DAP Teresa Kok Suh Sim mengingatkan Muhyiddin, bahawa beliau seharusnya menjadi pemimpin kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kenyataan sebegitu boleh menyebabkan salah faham antara kaum dan kemarahan orang ramai. Sebagai pemimpin, beliau perlu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati.

Beliau perlu sedar yang beliau perlu menjadi TPM kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.