`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, August 17, 2014

ALOR SETAR - Dua kampung minta titi baru

Hassan Abdullah, 76, terpaksa menggunakan titi rosak untuk ke sawahnya.  
Hassan Abdullah, 76, terpaksa menggunakan titi rosak untuk ke sawahnya.

ALOR SETAR - Dua kampung, di mukim Tajar, dekat sini, didakwa terpaksa berdepan kesukaran akibat masalah titi kayu usang terus membelenggu kehidupan harian mereka.

Tinjauan Sinar Harian, titi Kampung Alor Binjal daif apabila struktur kayunya mereput dan berlubang sehingga menyebabkan urusan keluar masuk menjadi sukar.

Manakala, sebuah titi usang di Kampung Padang Luar, dekat sini, didapati sudah roboh dan bergoyang, sekali gus mendatangkan bahaya kepada penggunanya.

Petani sukar ke sawah

Penduduk Kampung Alor Binjal, Ahmad Din, 62, berkata, kebanyakan pengguna khususnya petani mengalami kesukaran untuk ke sawah disebabkan masalah titi uzur itu.

“Jikalau tidak silap, titi kayu kampung kami rosak sejak lima tahun lepas. Namun, segelintir penduduk terpaksa menggunakan ia disebabkan jalan lain lebih jauh.

“Keadaan titi rosak sedemikian sememangnya meninggalkan kesan kerana petani berasa sukar membawa peralatan mereka, antaranya seperti baja,” katanya.

Meskipun, katanya, penduduk tempatan boleh menggunakan jalan di hadapan sebuah sekolah menengah, namun ia dilihat mengganggu lalu lintas dan pelajar sekolah berkenaan.

Ahmad berkata, mereka memohon pihak bertanggungjawab membina titi baru menggantikan titi kayu lama dan usang berkenaan untuk memudahkan mereka.

Hadapi masalah serupa

Sementara itu, penduduk Kampung Padang Luar, Mat Jelani Hassan, 53, berkata, masalah sama dihadapi mereka apabila titi kegunaan penduduk rosak semula dua tahun lepas.

Menurutnya, titi kayu berkenaan sering rosak, sehingga menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan peruntukan sendiri demi membaiki kerosakan berkenaan.

“Masalah kerosakan titi sama dilalui kami berulang kali sejak 30 tahun lepas. Apabila dibaiki, ia rosak semula. Sedangkan, ramai penduduk memerlukan kemudahan ini,” katanya.

Katanya, kewujudan titi ini memainkan peranan penting sebagai jalan perhubungan apabila penduduk menggunakan kemudahan ini untuk ke sekolah, sawah, kelas mengaji al-Quran dan surau.

Oleh itu, Jelani berkata, kebanyakan penduduk terpaksa bergadai nyawa menggunakan titi berkenaan ekoran enggan berulang-alik menggunakan jalan lain yang lebih jauh.

Titi berisiko

Manakala, Tarmizi Abu Bakar, 44, berkata, keadaan titi sedemikian dikhuatiri menimbulkan risiko kejadian tidak diingini kepada penggunanya terutamanya kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak hanya berisiko tergelincir, malah lemas dalam tali air CIII Tajar, dekat sini, sewaktu menggunakan titi kayu, jikalau kerosakan dibiarkan sahaja,” katanya.

Katanya, mereka mengharapkan tindakan segera pihak berkenaan untuk menaiktarafkan kemudahan sedia ada kepada titi konkrit supaya penduduk tidak terus bersusah payah.

Dalam perkembangan sama, katanya, penduduk memohon jalan kampung diturap kepada jalan tar  bagi memudahkan penduduk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

Malah, katanya, mereka memohon sarang tebuan yang wujud atas sebuah lampu jalan dihapuskan secepat mungkin kerana ia dilihat membahayakan nyawa penduduk.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.