`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, August 6, 2014

Hukum 'Chatting' Dengan Bukan Mahram


TANYALAH USTAZAH : HUKUM CHATTING DENGAN BUKAN MAHRAM

SOALAN:

Assalamu'alaikum Ustazah,

Saya ingin bertanya tentang hukum saya berkomunikasi dengan bukan mahram saya melalui internet samada chatting atau perbualan2 melalui facebook, email dsb.

Saya seorang wanita muslimah yang masih menuntut di IPT.

Bentuk perbualan saya selalunya bukan perkara penting, Cuma sembang-sembang, menyampuk-nyampuk maklumat yang ada dalam facebook mereka.

Begitu juga kawan-kawan lelaki saya akan membalas perbualan tersebut.

Begitulah hari demi hari kami saling berhubungan tanpa sekatan di alam cyber sedangkan di alam nyata kami menjaga batas-batas hubungan lelaki dan wanita bukan mahram ini.

Harap ustazah dapat melayani pertanyaan saya ini. Terima kasih.

~ Gadis Muslimah.

*********************

JAWAPAN:

Jawapan oleh: Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Terima kasih atas pertanyaan itu.

Gadis Muslimah dan semua wanita muslimah yang membaca soaljawab ini,

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa, komunikasi dengan tulisan melalui jaringan internet atau yang lebih dikenal dengan chatting baru muncul dan popular beberapa tahun terakhir.

Iaitu, tepatnya setelah ditemui jaringan internet.

Kerana itu dalam kitab2 ulama terdahulu khususnya buku fiqh, istilah ini tidak akan ditemui.

Namun asas bagi hukum chatting ini sebenarnya sudah dibahas oleh ulama, jauh sebelum jaringan internet ditemukan.

Chatting dengan lawan jenis yang bukan mahram sama halnya dengan berbicara melalui telefon, SMS, dan berkiriman surat.

Semuanya ada persamaan.

Iaitu sama-sama berbicara antara lawan jenis yang bukan mahram.

Persamaan ini juga mengandung adanya persamaan hukum.

Kerana itu, ada dua perkara berkaitan yang perlu kita bahas sebelum kita lebih jauh membicarakan hukum chatting itu sendiri.

Pertama, adalah hukum bicara dengan lawan jenis yang bukan mahram.

Kedua, adalah hukum khalwat.

Berbicara antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram pada dasarnya tidak dilarang apabila pembicaraan itu memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan oleh syara'.

Seperti pembicaraan yang mengandung kebaikan, menjaga adab-adab kesopanan, tidak menyebabkan fitnah dan tidak khalwat.

Begitu jika hal yang penting atau berhajat umpamanya hal jual beli, kebakaran, sakit dan seumpamanya maka tidaklah haram.

Dalam sejarah kita lihat bahwa isteri-isteri Rasulullah SAW berbicara dengan para sahabat, ketika menjawab pertanyaan yang mereka ajukan tentang hukum agama.

Bahkan ada antara isteri Nabi SAW yang menjadi guru para sahabat selepas wafatnya baginda yaitu Saidatina Aisyah RA.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang ertinya:

“Kerana itu janganlah kamu (isteri-isteri Rasul) tunduk (yakni melembutkan suara) dalam berbicara sehingga orang yang dalam hatinya ada penyakit memiliki keinginan buruk. Tetapi ucapkanlah perkataan yang baik”.

(Surah al-Ahzab: Ayat 32)

Imam Qurtubi mentafsirkan kata ‘Takhdha’na’ (tunduk) dalam ayat di atas dengan erti lainul qaul (melembutkan suara) yang memberikan rasa ikatan dalam hati.

Iaitu menarik hati orang yang mendengarnya atau membacanya adalah dilarang dalam agama kita.

Ertinya pembicaraan yang dilarang adalah pembicaraan yang menyebabkan fitnah dengan melembutkan suara.

Termasuk di sini adalah kata-kata yang diungkapkan dalam bentuk tulisan.

Kerana dengan tulisan seseorang juga boleh mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan seseorang merasakan hubungan istimewa, kemudian menimbulkan keinginan yang tidak baik.

Termasuk juga dalam melembutkan suara adalah kata-kata atau isyarat yang mengandung kebaikan, namun ia boleh menyebabkan fitnah.

Iaitu dengan cara dan bentuk yang menyebabkan timbulnya perasaan khusus atau keinginan yang tidak baik pada diri lawan bicara yang bukan mahram.

Baik dengan suara ataupun melalui tulisan.

Jika ada unsur2 demikian ia adalah dilarang meskipun pembicara itu mempunyai niat yang baik atau niatnya biasa-biasa saja.

Adapun khalwat, hukumnya dilarang sama sekali dalam agama Islam.

Sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW yang ertinya:

"Janganlah ada di antara kalian yang berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya."

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khalwat adalah perbuatan menyepi yang dilakukan oleh laki-laki dengan perempuan yang bukan mahram dan tidak diketahui oleh orang lain.

Perbuatan ini dilarang kerana ia dapat menyebabkan atau memberikan peluang kepada pelakunya untuk terjatuh dalam perbuatan yang dilarang.

Kerana ada sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Tiadalah seorang lelaki dan perempuan itu jika mereka berdua-duaan melainkan syaitanlah yang ketiganya"- (Hadith Sahih)

Khalwat bukan saja dengan duduk berduaan.

Tetapi berbual2 melalui telefon di luar keperluan syar'i juga dikira berkhalwat.

Kerana mereka sepi dari kehadiran orang lain, meskipun fizikal mereka tidak berada dalam satu tempat.

Namun melalui telefon mereka lebih bebas membicarakan apa saja selama berjam-jam tanpa merasa dikawal oleh sesiapa

Dan haram juga ialah perkara2 syahwat yang membangkitkan hawa nafsu contohnya yang berlaku pada kebanyakan muda mudi atau remaja2 sekarang dimana sms atau email atau Facebook atau Friendster atau Tagged atau WeChat atau seumpamanya menjadi alat untuk memadu kasih yang memuaskan nafsu diantara pasangan dan masing2 melunaskan keinginan dan keseronokan semata2.

Membincangkan perkara2 lucah lebih2 lagi hukumnya adalah haram.

Kesimpulan:

Hukum chatting sama dengan menelefon sebagai mana yang sudah kita terangkan di atas.

Ertinya chatting di luar keperluan yang syar'i termasuk khalwah.

Begitu juga dengan sms.

Walaupun dengan niat berdakwah.

Kerana berdakwah kepada jenis lawan bukanlah suruhan agama kerana Allah telah menetapkan untuk berdakwah kepada lelaki adalah lelaki juga, begitu juga sebaliknya.

Namun bila ada tuntutan syar'i yang darurat, maka itu diperbolehkan sesuai keperluan.

Tentunya dengan syarat-syarat yang sudah kita jelaskan di atas.

Di sinilah menuntut kejujuran kita kepada Allah dalam mengukur sejauh mana urusan kita itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata.

Dan kejujuran itu pula bergantung sejauh mana iman kita kepada Allah.

Jika muraqabatillah kita kuat ( yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan Allah), maka itu yang akan menjadi pengawal kita.

Jika tidak....maka kita akan hanyut bersama orang2 yang terpedaya dengan teknologi moden ini. Na’uzubillah.

Agak menyedihkan juga dengan kenyataan saudari, bahawa dalam suasana nyata saudari amat menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram, namun di alam cyber saudari bebas berbual mesra tanpa batasan syara’.

Saya percaya ramai remaja muslimah yang terjebak ke dalam situasi yang syubhah ini.

Internet sangat baik untuk kita, dimana ia memudahkan banyak urusan kita tapi jika kita menyalahgunakannya akan membawa akibat buruk kepada akhlak dan masyarakat kita.

Semoga jawapan ini dapat memandu para muslim dan muslimah remaja atau dewasa dalam melayari kehidupan yang penuh ujian keimanan ini.

Alangkah bahagianya jika para remaja muslim dan muslimah yang terdiri dari para intelek hari ini berpegang teguh kepada tali agama iaitu taat kepada perintah dan larangan Allah dalam setiap urusan hidupnya.

Semoga dengan itu Allah akan menurunkan rahmahNya kepada kita semua.

Dan semoga Allah menjauhkan kita dari segala fitnah dunia yang sangat manis pada pandangan mata.

Demikian yang dapat saya sampaikan.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahu a'lam.

~Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.