`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 3, 2014

Kedai elektrik, restoran musnah kebakaran

  • Api marak membakar unit kedai terlibat.Api marak membakar unit kedai terlibat.
 1 / 3 
PASIR MAS - Tiga premis menjual pelbagai barangan perkakasan elektrik dan sebuah restoran musnah dalam kebakaran di kawasan bandar ini kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan 12 lagi unit kedai bersebelahan daripada turut musnah.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bahagian Operasi Negeri Kelantan, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang.

“Seramai 25 anggota bersama lima jentera segera ke lokasi kejadian, melibatkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Pasir Mas, Tunjong, Kota Bharu, Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang.

“Ketika kami tiba, premis berkenaan telah hangus 80 peratus dan kami mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan sekitar,” katanya.

Menurutnya, operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan bomba sukarela.

"Kami masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.

Dalam pada itu, mangsa yang juga pemilik kedai menjual barangan dan perkakasan elektrik, We Chong Lek, 47, berkata, kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
“Saya baru sahaja membawa masuk stok baharu untuk dijual sempena Aidilfitri.

"Api marak dengan cepat dan saya tak sempat buat apa-apa, hanya mampu lihat dari jauh," katanya.

Menurutnya, dia hanya menyedari kedainya terbakar selepas melihat kepulan asap tebal yang memenuhi ruang udara berhampiran premis miliknya itu.

“Ketika itu, saya berada di rumah, tidak jauh dari kedai dan mahu keluar kerana hendak menyelesaikan sedikit urusan.

“Apabila sedar kedai terbakar, saya segera ke sana. Mujurlah ibu dan pembantu rumah yang berada di dalam kedai sempat keluar  menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, kejadian tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat serta Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut meluangkan masa bertemu dengan mangsa. -SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.