PKR dan
DAP tetap bertegas dengan keputusan mereka untuk hanya menamakan Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang
baharu.
Keputusan
itu bagaimanapun bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan
Sharafuddin Idris Shah yang meminta setiap parti dalam Pakatan Rakyat
menamakan tidak lebih daripada dua nama bagi jawatan tersebut.
Kenyataan
bersama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan tidak
disertai oleh sekutu mereka, PAS.
Kedua-dua
parti itu berkata, mereka akan mempersembahkan pencalonan Wan Azizah
untuk dipertimbangkan sejajar dengan konvensi yang diamalkan oleh
Pakatan Rakyat pada tahun lalu memandangkan beliau mendapat sokongan
majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
"Pada
tahun lalu, Sultan Selangor turut menitahkan parti-parti Pakatan Rakyat
mencalonkan lebih dari satu nama dalam melantik menteri besar.
"Titah
itu disampaikan kepada PKR, PAS dan DAP melalui satu surat bertarikh 7
Mei 2013 yang melambangkan konvensi diamalkan Sultan Selangor sebelum
ini.
"Susulan
itu, mengambil kira titah Tuanku dan konvensi yang diamalkan sebelum ini
dalam pelantikan Menteri Besar, parti-parti Pakatan Rakyat telah
mencalonkan satu nama iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim untuk
dipertimbangkan. Pencalonan ini diperkenankan dan diterimapakai oleh
Tuanku," menurut kenyataan itu.
Terdahulu,
Sultan Sharafuddin menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR)
supaya mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar
yang baharu.
Setiausaha
Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah supaya
lebih daripada dua nama dicadangkan itu bertujuan memudahkan baginda
menentukan calon yang berkelayakan untuk dilantik ke jawatan eksekutif
berkenaan.
"Sebagaimana
yang diperuntukan di bawah Perkara LI (1), Perkara LII (2)(a), (4) dan
LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Duli Yang Mulia
Sultan Selangor telah diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di
dalam pelantikan seorang menteri besar yang pada pendapat baginda
mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri,"
katanya.
Selain
itu, Mohamad Bani mengesahkan bahawa Sultan Sharafuddin menerima
menghadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyembah maklum memohon
perkenan untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun,
Sultan Selangor menangguhkan penerimaan perletakkan jawatan itu
sehingga pelantikan menteri besar Selangor yang baharu ditentukan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.