`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, August 17, 2014

MARA, pelajar perubatan luar negara lagi baguskah?

Apa rasionalnya menanggung biaya ini sedangkan kerajaan juga memberikan subsidi yang amat tinggi untuk menampung pengajian perubatan di IPTA?
COMMENT
Oleh Wan Salman Wan Sallam
JPASaya secara peribadi menahan sahaja perasaan daripada meluahkan pendapat tentang polisi baharu pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar perubatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Polisi terbaharu itu ialah pelajar perubatan IPTA, bermula dengan kemasukan tahun 2013/14 tidak lagi akan mendapat biasiswa JPA secara “de facto” automatik.
Walaupun saya sendiri berjaya mendapat biasiswa tersebut, namun saya tetap berasa kurang berpuas hati dengan sikap JPA yang langsung tidak memberi notis kemungkinan ini sebelum keputusan UPU tahun lalu. Walaupun benar JPA tidak pernah menjamin keautomatikan biasiswa perubatannya, polisi JPA yang selama ini sentiasa menawarkan biasiswa ‘automatik’ saban tahun pastilah membuat kita menganggap JPA akan terus melakukannya untuk tahun-tahun mendatang melainkan ada notis JPA untuk tidak meneruskannya.
Namun saya cuba melihat pada sudut positif; memandangkan pembinaan hospital tidak serancak pembinaan fakulti perubatan, saya dapat menganggap bahawa ada petanda kerajaan sendiri mungkin tidak dapat menguruskan ramai graduan perubatan akan datang. Malah pembekuan pembinaan fakulti perubatan IPTA mahupun IPTS juga telah bermula buat masa ini.
Sungguhpun begitu, saya lebih terkilan apabila membaca laporan berita Utusan yang menyatakan bahawa MARA akan meneruskan penajaan pelajar bidang perubatan ke luar negara. Mengapakah MARA begitu beria-ia malah kelihatan berbangga dapat menaja pelajar perubatan ke luar negara?
Tanpa menafikan kecemerlangan pelajar tajaan MARA, saya melihat kerajaan amnya seharusnya juga melihat nasib pelajar-pelajar perubatan dalam negeri, IPTA terutamanya yang saya kira setanding kecemerlangannya dengan pelajar luar negara dalam SPM. Bukan itu sahaja, rata-ratanya mereka juga amat cemerlang juga dalam program persediaan (contohnya Matrikulasi KPM, Asasi IPTA, PASUM dan STPM).
Bahkan yang ditaja kerajaan ke Timur Tengah contohnya, universiti mereka malah tidak menjadikan kelulusan program persediaan pun ada! Hendak sambung perubatan dalam negeri sangatlah susah dengan syarat kemasukan dan persaingan dahsyatnya, tapi yang ke luar negara dengan syarat kemasukan lebih mudah ditaja pula. Bagaimanakah pertimbangan dibuat dalam keputusan ini sebenarnya?
Bukan itu sahaja, kerajaan sendiri mengakui bahawa jika ingin mengamal perubatan di Malaysia, amalan klinikal adalah lebih baik dijalankan dalam negeri berbanding luar negara atas faktor penolakan pesakit dan demografi penyakit. Pihak MQA sendiri juga menetapkan syarat yang ketat untuk akreditasi fakulti perubatan, maka adakah fakulti perubatan yang sekian banyak di Malaysia ini masih tidak dapat menampung keperluan graduan perubatan?
Tentang kos pula, menanggung SEORANG sahaja pelajar perubatan di negara benua Eropah memakan biaya hampir RM 1 juta, jika tidak lebih! Apa rasionalnya menanggung biaya ini sedangkan kerajaan juga memberikan subsidi yang amat tinggi untuk menampung pengajian perubatan di IPTA? Lebih baik sempurnakan subsidi dan pemberian biasiswa pelajar IPTA semuanya daripada menaja mereka yang ke luar negara.
Saya difahamkan bentuk ‘tajaan’ MARA bukanlah tajaan penuh, tetapi merupakan pinjaman boleh ubah. Apa kurangnya pelajar IPTA untuk tidak ditawarkan pinjaman yang sama? Bahkan kosnya lebih murah memandangkan dasar IPTA bukanlah untuk mengaut keuntungan.
Jika Tan Sri Annuar Musa berpendapat bakal doktor perubatan ini berpeluang bergaul dengan orang luar negara, MARA mahu jadikan mereka doktor atau negarawan berjiwa rakyat? Mungkin juga MARA teringin melahirkan sosok seperti Dato’ Seri Dr. Wan Azizah yang belajar perubatan di Ireland dan kini menjadi Presiden parti. Namun kita juga ada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang belajar di Universiti Malaya dan juga merupakan Perdana Menteri paling lama di Malaysia!
Untuk kerajaan, JPA terutamanya, ingatlah bahawa pelajar dalam negeri lebih setia berkhidmat untuk Malaysia. Buat yang mendapat tajaan luar negara, saya ucapkan tahniah dan berazamlah untuk kembali berbakti buat negara kita.
Untuk MARA pula, kebanyakan pelajar perubatan IPTA yang tidak mendapat biasiswa ini Bumiputera juga. Ada antara mereka hanya makan sekali sehari dan perlu menanggung kos buku teks yang hampir beribu harganya.
Cukuplah dengan polisi pilih kasih ini. MARA walaupun berasingan dengan JPA, kedua-dua agensi dan jabatan ini milik kerajaan juga. Sepatutnya wujud persefahaman dan kesegerakan dalam polisi tajaan ini dengan bantuan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan. Akhir sekali, mengapa ingin menyusu anak sampai ke luar negara jika susu di rumah sendiri lebih murah, berkualiti dan cukup untuk anak-anak?
Wan Salman Wan Sallam ialah pelajar perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.