`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 22, 2014

MH17: Selamat Pulang & Takziah Kepada Keluarga Mangsa


Senarai penuh 20 jenazah MH17 yang dibawa pulang hari ini 

SEPANG: Kerajaan telah mengumumkan senarai penuh 20 mangsa nahas MH17 yang jenazah mereka akan dibawa pulang dari Amsterdam, Belanda ke tanah air pagi ini. 

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Daripada 20 jenazah berkenaan, 11 terdiri orang Islam dan sembilan bukan Islam.

Senarai penuh 20 jenazah yang dibawa pulang:

1.Mastura Mustafa (P) - Anak Kapal - Islam
2.Ahmad Hakimi Hanapi (L) - Kru Teknikal - Islam
3.Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P) - Anak Kapal - Islam
4.Nur Shazana Mohamed Salleh (P) - Anak Kapal - Islam
5.Dora Shahila Kassim (P) - Anak Kapal - Islam
6.Foo Ming Lee (L) - Penumpang - Buddha
7.Karamjit Sigh Karnail Singh (L) - Penumpang - Sikh
8.Ng Qing Zheng (L) - Penumpang - Buddha
9.Mabel Anthony Samy (P) - Penumpang - Kristian
10.Paul Rajasingam/Sivagnanam (L) - Penumpang - Kristian
11.Elisabeth Ng Lyeti (P) - Penumpang - Buddha
12.Lee Hui Pin (P) - Anak Kapal - Buddha
13.Angeline Premila Rajandaran (P) - Anak Kapal - Kristian
14.Ariza Ghazalee (P) - Penumpang - Islam
15. Muhammad Afif Tambi (L) - Penumpang - Islam
16. Noor Rahimmah Mohd Nor (P) - Penumpang - Islam
17. Chong Yee Pheng (P) - Anak Kapal - Kristian
18. Azrina Yakob (P) - Anak Kapal - Islam
19. Mohd Ali Md Salim (L) - Penumpang - Islam
20. Hasni Hardi Parlan (L) - Penumpang - Islam

Jenazah Mohd Ali Mangsa MH17 Paling Sempurna. Bapa Tidak Sabar Untuk Tatap, Peluk dan Cium Setiba di Tanah Air Nanti.



MUAR – Md Salim Sarmo, 65, bapa kepada Allahyarham Mohd Ali, seorang daripada mangsa nahas pesawat MH17 berkata, beliau dan keluarga tidak sabar untuk menatap wajah, memeluk dan mencium jenazah anak lelakinya itu yang dijadualkan tiba dengan helikopter di Stadium Mini Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh, dekat sini tengah hari ini.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Jayor, Pagoh di sini hari ini, beliau menerima dengan penuh syukur dan gembira mengenai berita keadaan jasad anaknya itu yang dikatakan hampir sempurna sifatnya ketika dimandi dan disembahyangkan di Amsterdam, Belanda.

“Kami sekeluarga reda dan tidak kisah dengan keadaan jasad Mohd Ali tetapi saya dimaklumkan melalui telefon oleh kawan-kawan anak saya dari Belanda yang membantu memandikan dan menyembahyangkan jenazah, mayatnya adalah yang paling sempurna.

“Mereka kata cukup sifat dan tangan juga lembut semasa jenazah dimandikan. Kami cukup lega, berpuas hati dan berterima kasih kerana diberi kebenaran untuk melihat wajah Mohd Ali buat kali terakhir esok,” katanya.

Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Md Salim berkata mereka sekeluarga hanya dibenarkan melihat wajah Mohd Ali tetapi dilarang mengambil gambar bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan potretnya untuk tujuan tidak baik.

Dia berkata persiapan menyambut jenazah dilakukan sejak tiga hari lalu antaranya di IKBN Pagoh, proses menurap jalan ke rumahnya dan kerja-kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, yang membabitkan petugas Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Parlimen Pagoh, UMNO Bahagian Pagoh, polis dan bomba.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Anggota Parlimen Pagoh dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah antara yang menyambut jenazah Mohd Ali di IKBN.

Beliau sekeluarga berlepas ke Kuala Lumpur pukul 4 petang tadi untuk menyambut ketibaan jenazah pagi ini.

Selepas itu, mereka akan mengiringi jenazah yang akan diterbangkan menggunakan helikopter ke IKBN Pagoh.

Jenazah Mohd Ali akan disemadikan bersebelahan pusara datuk saudaranya, Jawat Suradi, yang meninggal dunia September tahun lalu pada usia 93 tahun, kerana hubungan mereka amat rapat.

“Setiap kali pulang ke tanah air, Mohd Ali pasti melawat datuk saudaranya itu dan kebetulan semasa hari raya puasa tahun lalu, mereka berdua ada mengambil gambar bersama. Tidak sangka pula, mereka akan disemadikan bersebelahan,” katanya.

Md. Salim, bapa kepada lapan anak itu, turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membawa jenazah anaknya pulang terutama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Muhyiddin, Kerajaan Malaysia, Malaysia Airlines dan kedutaan Malaysia di Belanda.
 – BERNAMA


'Bagaikan mati hidup semula' - Ibu Hamfazlin Sham


Itulah yang dirasai ibu kepada pramugari Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 37, selepas mengetahui jenazah anaknya itu adalah antara 20 yang akan tiba di Malaysia pada Jumaat untuk disemadikan.

Hamlah Hassan, 61, berkata sebelum dimaklumkan perkara itu, beliau sentiasa berdoa agar jenazah anaknya ditemui dan dapat dibawa pulang.

"Hari-hari makcik tengok berita, dapatkan perkembangan terkini dan berdoa supaya dapat berjumpa jenazah, dan akhirnya doa makcik dimakbulkan bila arwah ditemui dan pihak berkenaan memaklumkan jenazahnya sempurna," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jenazah Hamfazlin Sham akan dihantar ke rumah keluarganya di Wangsa Maju dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak di sini.

"Jenazah akan tiba di rumah terlebih dahulu, dan kami akan tunggu di sini untuk menyembahyangkan jenazah di masjid berdekatan. Selepas solat Jumaat baru jenazah akan dikebumikan," katanya.

Dalam pada itu, adik Allahyarham, Hamizah Sham, 26, berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang terjadi walaupun tidak dapat melihat jenazah.

"Kami terima seadanya, yang penting arwah sampai dengan selamat dan lengkap," katanya.

Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk istiadat penghormatan pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi pesawat MH17 dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi.

Sejumlah 43 warga Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat berkenaan, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di negara bergolak itu. 
-astroawani

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.