`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, August 26, 2014

Sultan Selangor tiada alasan bubar DUN, kata pakar perundangan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat sokongan 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, kata pakar perundangan, dan menambah tidak ada alasan untuk Sultan Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan pilihan raya sekali lagi. Mereka berkata, jumlah sokongan itu sudah mencukupi untuk Sultan menilai Dr Wan Azizah mendapat keyakinan majoriti ahli dewan dalam DUN. Ini bermakna, kata mereka, pemerintah tidak ada alasan untuk membuarkan DUN dan mengadakan pilihan raya kerana sejak lebih 40 tahun lalu, pilihan raya semula tidak diadakan ketika perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri ditukar di pertengahan penggal perkhidmatan. Profesor Gurdial Singh Nijar, dari Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, berkata undi 29 Adun termasuk Dr Wan Azizah mewakili 53.57% daripada 56 wakil rakyat dalam DUN Selangor. PAS mempunyai 15 kerusi sementara PKR ada 13 dan DAP 15. Selebihnya 12 kerusi dipegang oleh wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, penyandang menteri besar adalah Adun bebas selepas dipecat daripada PKR. Gurdial berkata, adalah jelas 43 Adun atau 77% daripada jumlah keseluruhan kekal bersama Pakatan Rakyat (PR). Katanya, berdasarkan kepada kes krisis perlembagaan di Perak pada 2009, almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak membubarkan DUN apabila 3 Adun PR bertindak keluar parti dan menjadi Adun bebas yang berpihak kepada BN. “Pecahannya ialah BN 28, PR 28 dan 3 adun bebas mesra BN, dan Sultan memilih untuk melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin,” katanya. Gurdial berkata, dalam kes di Selangor, 13 Adun PAS tidak menentang Dr Wan Azizah ketika mereka enggan menandatangani akuan berkanun (SD) menyokongnya sementara 12 wakili rakyat BN tidak menyuarakan bantahan mereka terhadap presiden PKR itu. “Pada asas itu, jelas menunjukkan Dr Wan Azizah ada sokongan majoriti dan tidak ada sesiapa yang menentangnya,” katanya. Beliau berkata, Sultan sebagai ketua perlembagaan, hanya perlu dibimbing oleh Artikel 53(2) perlembagaan Selangor yang memerlukan baginda melantik MB, 
seorang ahli DUN, seseorang yang pada penilaian baginda mendapat keyakinan majoriti ahli DUN. Gurdial berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PAS semalam, 13 Adun PAS tidak akan menandatangani SD menyokong Dr Wan Azizah menggantikan Khalid. Pada mesyuarat Jawankuasa PAS Pusat semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat sendiri pemimpin PAS bertindak menentangnya apabila 13 Adun menolak pilihannya untuk menamakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai calon menteri besar. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga enggan mengesahkan jika parti berpegang teguh kepada keputusan majlis presiden PR untuk mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan itu, dan menambah hasil mesyuarat itu ialah mereka bersetuju menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk memilih menteri besar. Peguam R Kengadharan berkata, pendapat Hadi dan partinya mengenai Dr Wan Azizah tidak relevan kerana perkara utamanya ialah melantik MB mengikut perlembagaan mengikut undang-undang tubuh negeri. “Hanya 56 Adun yang dipilih pengundi di Selangor membuat keputusan memilih MB adan pertimbangan lain adalah perkara kurang penting. “Dr Wan Azizah patut dilantik sebagai MB kerana dia memperolehi sokongan majoriti mudah daripada Adun. Tidak perlu menunjukkan sokongan majoriti yang berlebihan, ia tidak diperlukan di bawah perlembagaan negeri,” katanya. Profesor Dr Abdul Aziz Bari d ariUniversiti Selangor berkata permainan sudah tamat bagi PAS dan Khalid sejak 14 Ogos apabila Dr Wan Azizah disokong 29 Adun. “PAS bertindak kurang bijak dengan karenah seperti ini dan Khalid tidak ada kuasa lagi untuk kekal di pejabatnya,” katanya. Aziz berkata, peralihan kuasa lebih licin ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyerahkan jawatannya kepada Tun Abdul Razak Hussein pada 1970. Keadaan yang sama apabila Tun Hussein Onn menyerahkan kuasa kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990, Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dan Abdullah kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2009. Beliau berkata, pada Mei tahun ini Sultan Terengganu juga tidak membubarkan DUN apabila kepimpinan BN menggantikan Datuk Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Azri berkata, BN mempunyai majority kerusi yang sengit di Terengganu iaitu 17 kerusi berdepan dengan 15 kerusi PR. “Maka sejak 1970 sudah ada duluan yangjelas tidak perlu pembubaran apabila ketua kerajaan dilantik di pertengahan jalan,” katanya. Katanya, kuasa Sultan Selangor tidak lebih lebih dan kurang daripada Yang di-Pertuan Agong, raja Melayu dan gabenor yang lain. Mengenai Hadi, Aziz berkata pemimpin PAS itu mungkin merujuk kepada perlembagaan pada 1948 apabila kesultanan diberikan kehormatan untuk memilih MB. “Perlembagaan semasa dibuat pada 1959. Dalam perlembagaan lama, Sultan boleh melantik dan memecat MB yang juga penjawat awam,” katanya. Sultan Selangor dijangka menerima Khalid mengadap hari ini sementara Dr Wan Azizah, yang juga Adun Kajang menanti mendapat perkenan Sultan Selangor untuk mengadap.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.