`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 3, 2014

Bersediakah kerajaan Umno@BN dengan implikasi “20 sen”?

Harga minyak naik lagi. Apa lagi, orang pun naik minyaklah!

subsidycuts_400_256_100Reaksi yang lazimnya diluahkan yang kita pun biasa hadapi (dan mungkin ikut sama luahkan) ialah pastinya “Celaka BN!”, “Siapa suruh undi BN hari tu?”, “Inilah hadiah buat pengundi BN!” dan yang lain dalam golongan yang sama.
Kemajuan penggunaan media sosial juga menggalakkan lagi suara menentang “kedurjanaan BN” ini. Tidak cukup dengan kemas kinian status (status update), dibuat pula “troll” dan “memes” yang menggelikan hati dan semestinya menggalakkan lagi mesej “kedurjanaan BN” ini.
Apa-apa sekalipun, apa kata kita ketepikan sebentar permainan bipolar BN-PR sebentar dan bertanya satu soalan; bersediakah kerajaan akan implikasi kenaikan harga minyak ini?
Datuk Seri Hasan Malek telah membuat satu kenyataan bahawa kenaikan ini adalah pada “tahap minimum” dan meyakinkan rakyat agar “kekal positif” untuk Belanjawan 2015 yang bakal diumumkan.
Umumnya diketahui bahawa pergantungan kepada subsidi memanglah bukan merupakan suatu yang sihat kepada ekonomi negara pada jangka panjang kerana kerajaan akan membelanjakan sejumlah wang negara namun tidak mendapat pulangan. Kiranya, skim subsidi ini tidak lain tidak bukan merupakan suatu bentuk kebajikan untuk rakyat.
Maka, penurunan subsidi ini, melihat pada aspek memastikan kemapanan ekonomi negara pada jangka masa panjang, sepatutnya dilihat sebagai suatu “usaha” yang positif.
Pada suatu sudut lain, kesan domino tetap akan berlaku; harga minyak naik, harga barang mentah naik, teh O’ panas pun naik harga, roti canai pun entah-entah nanti jadi RM 1.80.
Ada juga suara yang cuba mewajarkan rasionalisasi subsidi ini dengan memberikan perbandingan antara golongan yang akan terkesan dengan kenaikan ini dan golongan yang kurang atau tidak terkesan. Logik mereka ialah golongan yang pakai minyak ini golongan yang tinggal di Bandar, yang “memilih” untuk kerja di sana, “memilih” untuk pakai kereta dan juga katanya “bergaji cukup” untuk menampung kos petrol dan keperluan harian. Golongan yang tidak terkesan pula seperti yang tinggal di kampung tidaklah ramai sangat yang mahu pakai kereta dan berulang-alik pakai kereta pergi kerja hari-hari.

Maka katanya lagi, memang betullah berlaku “rasionalisasi” subsidi itu sendiri kerana wajarlah jika diturunkan subsidi pun kerana yang pakai minyak ini orang yang “mampu”; yang tak mampu tak adalah pakai minyak, maka tak adalah kesan kalau naik 50 sen sekalipun.
Umum mengetahui dan telah banyak yang merintih sebenarnya yang berlaku ialah yang sebaliknya; golongan pertengahan yang kebanyakan ini gajinya tidak cukup tinggi untuk menampung kos hidup mereka.
Walaupun kononnya orang “bandar” ini bekerja di ibu kota Kuala Lumpur yang megah itu, ramai antara mereka tinggal melebihi 30 km daripada tempat kerja mereka. Dengan kata lain secara kasarnya, lebih jimat membayar petrol daripada menyewa berdekatan Kuala Lumpur sendiri. Kini, bukan sekadar di Kajang atau Bangi, malah sekarang sudah ada yang berulang-alik hari-hari dari Nilai ke Kuala Lumpur.
Mungkin kita boleh cadangkan mereka berjimat dengan menggunakan pengangkutan awam. Bagaimanapun, sejauh manakah kita mampu berharap pada pengangkutan awam ini?
KTM komuter contohnya menjadualkan trennya dengan kekerapan lebih kurang 20 minit sekali. Sedangkan 20 minit itu sendiri bukanlah kekerapan yang baik, ditambah pula dengan realiti kekerapan yang berlaku, boleh jadi sehingga 40 minit menunggu. Isu ini tidaklah menjadi lebih baik dengan “operation signaling” yang kerap berlaku sehingga mampu menyebabkan servis tergendala sampai kadang kala 30 minit tersangkut.
Itu pun kira nasib baik kalau mampu mengambil tren KTM, LRT dan sebagainya. Bagaimana pula jika tinggal di tempat seperti Selayang dan Shah Alam? Sesetengah lokasi kediaman tidaklah terlalu jauh dengan Kuala Lumpur namun pertukaran bas itu sendiri mampu meningkatkan masa pergerakan hingga dua kali ganda.
Maka pastilah tetap ramai yang mahu memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri. Kalau naik bas juga, boleh terperangkap dalam kesesakan trafik. Maka apa bezanya?
Ideanya di sini ialah, apabila kerajaan mengumumkan penurunan subsidi minyak sebanyak 20 sen, adakah kerajaan sudah mempunyai pelan kawalan harga barang mentah, harga rumah dan sewaan rumah? Telahkah kerajaan merancang mekanisme pengangkutan awam yang mapan dan cekap dan juga ekonomik? Atau adakah sistem pengangkutan awam seperti tren ke Singapura contohnya hanya sekadar untuk “privilege” golongan tertentu sahaja?
Setahu saya, tanpa Kad Siswa 1Malaysia, kos tiket KLIA Transit dari Bandar Tasik Selatan ke KLIA ialah sekitar RM 26. Kalau RM 30 sudah boleh ke Kuantan dari Kuala Lumpur dengan bas ekspres!
Kita sebenarnya boleh sahaja percaya pendapatan si rumah secara puratanya ialah RM 5900. Kalau kita kira sekali pendapatan jutawan-jutawan boleh sahaja jadi jumlah itu. Maka kerajaan sendiri jika benar bangga dan yakin dengan dapatan ini, tunjukkanlah sekali dengan pendapatan isi rumah median.
Jika nilai median itu menyimpang daripada nilai purata tersebut, adakah kerajaan telah menyediakan mekanisme kenaikan gaji yang sesuai untuk menampung kos-kos hidup ini?
Jika kerajaan bersedia dan telah mempunyai pelan jangka masa panjang ini, maka naikkanlah sampai 50 sen pun, golongan pertengahan masih mampu menampungnya.
Soalan ini bakal terjawab, sekurang-kurangnya pada pembentangan Belanjawan 2015 nanti; adakah mampu laporan ini nanti mengatasi kesan “kenaikan minimum” ini atau sekadar gula-gula untuk menarik golongan pengundi tertentu sahaja.
Walaupun persoalan ini asalnya ditujukan kepada kerajaan BN kerana mereka sedang memerintah sekarang, namun soalan ini juga wajar ditanyakan kepada Pakatan juga; telahkah mereka mempunyai rancangan, sekurang-kurangnya bayangan? Soalan ini penting kerana kita juga mahu tahu adakah beza jika kita diperintah Pakatan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.