`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 12, 2014

Islam melarang bakar kitab suci agama lain

islamis patriot


Oleh Melati Rahim


Kenyataan Ibrahim Ali yang dikatakan ingin membakar Bible atas alasan untuk mempertahankan kesucian agama Islam adalah tidak munasabah sama sekali. Malah, kenyataan tersebut amatlah dangkal.

Lebih tragis apabila kenyataan beliau telah  disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang sepatutnya lebih arif tentang keadaan, demografi serta isu ini dari aspek perundangan.
Kemungkinan mereka telah lupa Allah pernah berfirman:


وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (QS. Al An’am: 108).

Dalam Quran sendiri Allah telah melarang manusia untuk mencela atau menghina sembahan bagi agama lain.

Pada hemat saya, kenyataan Ibrahim Ali itu jelas memalukan imej Islam dan berlawanan dengan konsep “santun dan berbahasa” yang konon menjadi imej dan dibawa sebagai wadah perjuangannya.
Apa dalil yang digunakan Ibrahim Ali untuk menghalalkan tindakan beliau mahu membakar Bible sebagai langkah mempertahankan Islam?

Tindakan beliau ini boleh dianggap sebagai provokasi yang berniat jahat seakan-akan ingin menyuburkan kebencian yang menyebabkan permusuhan agama di Malaysia.

Ibnu al-Qoyyim rahimahullah dalam kitab I’lamul Muwaaqi’in menjelaskan ayat di atas:

“Allah melarang kita mencela tuhan-tuhan orang musyrik dengan pencelaan yang keras atau sampai merendah-rendahkan (secara terang-terangan) karena hal ini akan membuat mereka akan membalas dengan mencela Allah. Tentu termasuk maslahat besar bila kita tidak mencela tuhan orang kafir agar tidak berdampak celaan bagi Allah (yang kita sembah). Jadi hal ini adalah peringatan tegas agar tidak berbuat seperti itu, supaya tidak menimbulkan dampak negatif yang lebih parah.”

Daripada ayat di atas dapat jelas bahawa Islam tidak membenarkan segala kemungkaran dibalas dengan kemungkaran. Malah, Allah menyuruh umat islam untuk menunjukkan contoh yang baik sesama makhluk:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (QS. An Nahl: 125)

Saya sangat yakin agama yang saya anuti, Islam, penuh dengan cinta, kasih sayang dan kesederhaan, bukannya kekerasan dan hukuman. Malangnya, sesetengah umat Islam sering menunjukkan contoh yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan.

Bermula dengan kenyataan yang seakan cuba menaikkan api perkauman sehinggalah melaga-lagakan agama. Agama adalah panduan hidup yang diguna-pakai dalam misi menuju ke langit Tuhan, dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alat untuk kepentingan politik dua tiga tengkuk mahupun diri sendiri. Agama itu adalah sesuatu yang suci, jangan cuba-cuba untuk mempermainkannya.

Maka, perlu ditekankan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk melayan penganut agama lain dengan kekerasan. Jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap tindakan biadap Ibrahim Ali yang mengugut untuk membakar Bible, dikhuatirkan kejadian ini akan menyebabkan berlaku pertelingkahan besar.

Islam itu adalah agama yang penuh berhikmah. Sebagai majoriti dalam negara ini, umat Islam sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada semua. Jangan nanti dek Ibrahim Ali, habis negara binasa. –Roketkini.com

*Melati Rahim ialah penulis novel ‘Pelacur Kelas Pertama’, aktivis sosial dan ahli DAP.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.