`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 3, 2014

Minyak Naik : Rakyat Dah Kecewa Dengan Umno BN, Sanggup Tolak BR1M !

 

                            Isu minyak: Penerima sanggup BR1M dihentikan

[sinar]- Kebanyakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di daerah ini lebih sanggup bantuan tersebut dihentikan, berbanding harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan kerana kenaikan bahan api itu meningkatkan lagi kos sara hidup.

Adnan Mohamad, 45, berkata, kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan, seterusnya menjadikan perbelanjaan harian termasuk keperluan dapur setiap keluarga meningkat.

“Sebagai penerima BR1M, saya akui bantuan ini sangat berguna, namun kalau berjimat sekalipun, bantuan ini bertahan beberapa bulan sahaja.

“Sedangkan kenaikan harga bahan bakar ini pula beri kesan secara menyeluruh, bahkan kalau nilai BR1M dinaikkan lagi sebanyak RM300 seperti diumumkan baru-baru ini, ia tetap tidak setimpal sebab rakyat perlu berhadapan dengan harga barang dan perkhidmatan yang lebih mahal berbanding sebelum ini,” katanya.

Justeru, kata Adnan, jika diberi pilihan, dia lebih sanggup tidak menerima BR1M asalkan kerajaan tidak mengurangkan subsidi bahan bakar itu.

Menurut Mohd Zainal Ramli, 39, pula, langkah kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel di saat umat Islam bakal menyambut Aidiladha beberapa hari sahaja lagi, menunjukkan kerajaan tidak bertimbang rasa.

“Apa gunanya kerajaan laungkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kalau tindakan diambil langsung tidak selari umpama cakap tak serupa bikin?

Rakyat marhaen mohon pimpinan negara turun sendiri ke peringkat bawah dan cuba hidup sebagai ‘orang biasa’ selama sehari.

“Hapuskanlah BR1M kalau begini cara kerajaan ambil semula bantuan ditabur itu. Saya penyokong Umno dan BN, tapi sangat kecewa dengan tindakan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen ini kerana kerajaan mempunyai pilihan lain, selain daripada kurangkan subsidi bahan bakar ini,” katanya.

Bagaimanapun, seorang penerima BR1M, Che Wan Zawawi Che Wan Jusoh, 49, tidak bersetuju bantuan itu dihentikan, sebaliknya dia menyarankan agar kerajaan mengurangkan subsidi barang kawalan lain.


                                     Petrol, diesel naik, jejas industri binaan

[sinar]- Harga barang binaan dijangka meningkat antara 10 sehingga 20 peratus berikutan kenaikan harga petrol dan diesel yang berkuat kuasa, semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion berkata, jangkaan itu berdasarkan kenaikan yang pernah dialami kontraktor kelas F ketika harga bahan bakar tersebut naik sebelum ini.

“Bila ada kenaikan harga minyak walaupun 5 sen, 10 sen, apatah lagi 20 sen, ia akan menjejaskan industri binaan kerana harga barang binaan pasti akan meningkat.

“Contohnya, sebelum harga minyak naik, harga satu beg simen boleh dapat dalam RM17 atau RM18.

Bila berlaku kenaikan harga petrol dan diesel, ia sepatutnya naik kepada RM1.70, namun kebanyakan pembekal pasti akan naikkan sehingga RM2,” katanya mengulas kesan kenaikan bahan api kepada industri pembinaan dan kontraktor.

Sebelum ini, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pembekal bahawa mereka akan menaikkan harga bahan binaan pada Mei ini kerana menjangkakan harga minyak naik ketika itu.

“Namun, bila kerajaan umumkan kenaikan harga minyak malam tadi (kelmarin), akan berlaku kenaikan serta-merta terhadap barang binaan walaupun pembekal masih menyimpan lagi stok lama.

“Hari ini (semalam), saya akan buat tinjauan harga barang binaan yang dijual pembekal,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai harapan Perkobf sempena Bajet 2015, Tukiman berkata, pihaknya berharap kerajaan memberi pembelaan terhadap kontraktor kelas F.

“Memandangkan pada 2020, Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi, tetapi kita lihat sekarang kontraktor kelas F masih ditakuk lama.

Walaupun banyak projek diberikan, tetapi ia tidak sampai kepada kontraktor kelas F.

“Ini kerana, banyak penyelewengan berlaku ketika pengagihan kerja dilakukan. Ada projek yang sepatutnya dijalankan kontraktor kelas F, tetapi ia dibuat orang lain yang mengaku sebagai kontraktor kelas F,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya kerajaan melakukan pemantauan rapi berhubung perkara itu.

“Jika tidak, kontraktor kelas F akan jadi miskin tegar pada 2020 kerana projek yang sepatutnya kita dapat, telah diselewengkan,” katanya.


                                Kenaikan harga petrol beri kesan kepada petani

[sinar]- Kenaikan harga petrol dan diesel membebankan rakyat berikutan banyak pihak menjangkakan kenaikan kos pengangkutan, harga barang dan bahan mentah.

Penternak dari Kampung Chempaka, Darwis Ibrahim, 25, berkata, kenaikan harga petrol berkenaan boleh memberi kesan terhadap pengangkutan bahan makanan bagi haiwan ternakan.

“Dalam industri ternakan, saya menjangkakan kos makanan haiwan boleh meningkat dalam masa terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu lagi berikutan ada kesan terhadap kos pengangkutan.

“Keadaan ini akan memberi kesan terhadap jualan haiwan ternakan dan saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula insentif pengeluaran ternakan,” katanya.

Darwis berkata, insentif itu penting bagi membolehkan penternak kurang terkesan dengan kenaikan harga petrol.

Katanya, biarpun sektor penternakan tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), namun kesan berantai akibat kenaikan harga petrol berkenaan tetap ada seperti pembelian guni makanan haiwan.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang berkata, kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen dikira membebankan rakyat golongan kurang berkemampuan.

“Kerajaan seharusnya berhati-hati dalam mengumumkan kenaikan harga petrol terutama pada musim perayaan kerana ia melibatkan pengangkutan, sekali gus ada pihak yang mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan lain.

“Kita tidak boleh membandingkan harga petrol dengan negara lain kerana petrol digunakan semua golongan sama ada kaya atau miskin,” katanya.

Bagi Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Royalti (R), Nazri Deraman berkata, kenaikan harga petrol ini mengejutkan dan tidak munasabah kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak.


                           Pengurangan subsidi bantu kurang hutang kerajaan

[sinar]- Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ke atas petrol RON95 dan diesel bertujuan mengurangkan hutang yang ditanggung kerajaan Malaysia.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata​, pengurangan tersebut dilakukan kerana kerajaan menyasarkan had hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, sebagai strategi pengurusan berhemat dalam mengurus kewangan negara, kerajaan juga berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus.

"Sasaran kerajaan ialah untuk cuba mendapatkan bajet yang seimbang pada tahun 2020 mendapatkan perolehan sama rata dengan apa yang telah dibelanjakan.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Dengan ini harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

KPDNKK berkata, pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, yang menyebabkan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing, turut menikmati subsidi diberikan kerajaan.

​Amir ketika mengulas lanjut berkata,  penarikan semula subsidi minyak ​tersebut juga dilakukan ​demi  mengurangkan penyeludupan minyak ke luar negara, khususnya negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Ujar beliau, kerajaaan perlu memastikan pemberian subsidi minyak yang ditanggung kerajaan diberikan sepenuhnya kepada rakyat dan tidak disalurkan ke negara jiran.

“Kalau kerajaan nak berikan subsidi, biarlah rakyat yang menerimanya. Contohnya, subsidi Malaysia tidak harus digunakan sewenangnya oleh rakyat Singapura.

“Rakyat Singapura sewenangnya membeli dan menyeludup minyak ke negara mereka kerana minyak mereka lebih mahal dari minyak kita, jika harga petrol dan diesel dinaikkan, jurang perbezaan harga antara negara jiran dan negara kita akan berkurangan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.