`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 16, 2014

Nanti Orang Kaya Lari Jika Cukai Banyak-Banyak Ke Atas Mereka Kata Timbalan Menteri BN

Ahmad Maslan: Jika dicukai terlalu banyak, orang kaya akan tinggalkan Malaysia [gambar fail]
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mempertahankan orang kaya daripada dikenakan cukai terlalu banyak kerana bimbang golongan tersebut akan berpindah keluar dari Malaysia.

Bercakap semasa wawancara mengenai Bajet 2015 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi, ahli Parlimen Pontian itu berkata, cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengenakan Cukai Warisan Harta sebagai tidak masuk akal.

"Berapa banyak cukai yang hendak dikenakan kepada orang kaya? Cukai SST mahu dikenakan, cukai syarikat, cukai CGT dan apabila mereka mati pun mereka masih perlu membayar cukai iaitu cukai warisan harta.

"Jadi apa yang tinggal untuk mereka dan apa nak diberi pada anak mereka? Kita tidak mahu sekiranya dikenakan terlalu banyak cukai maka akan menyebabkan golongan kaya keluar dari negara," katanya.

Beliau mengulas cadangan Belanjawan PR yang mahu memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi Ekuiti (CGT) dan Cukai Warisan Harta sebagai alternatif kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ahmad turut menolak dakwaan PR iaitu tiada masalah bagi negara mengenakan dua cukai tersebut kerana ia banyak diamalkan di negara maju.

Beliau berkata, dua cukai dicadangkan PR hanya boleh dilaksanakan di negara maju dan bukannya Malaysia yang masih belum mencapai status tersebut.

"Kena ingat kita bukan negara maju tapi kita menuju negara maju," katanya.

Ahmad bagaimanapun mengakui tidak mustahil untuk Malaysia melaksanakan sistem dua cukai dicadangkan PR sekiranya sudah mencapai status negara maju.

Sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2015 Jumaat lalu, PR mencadangkan pelaksanaan CGT dan Cukai Warisan Harta sebagai alternatif kepada GST dalam Belanjawan 2015 mereka.

Menurut PR, dua cukai tersebut hanya disasarkan kepada golongan kaya saja berbanding GST yang lebih menyeluruh termasuk kepada golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Strategi DAP Ong Kian Ming berkata, dengan pelaksanaan dua cukai tersebut beban golongan berpendapatan rendah dapat dikurangkan.

“Pengenalan cukai alternatif ini berbeza daripada GST yang akan dikenakan secara menyeluruh dan menekan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Ahli Parlimen Serdang itu berkata, dengan pengenalan cukai tersebut PR menjangkakan sebanyak RM3 bilion dapat dikutip pada tahun pertama.

PR menolak alasan pengenalan CGT akan merencatkan pelaburan, memandangkan semua negara Eropah menganggotai Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) melaksanakan CGT.

Berhubung Cukai Warisan Harta, PR melihat Malaysia tidak mempunyai sebarang bentuk cukai bagi keuntungan hasil daripada perwarisan harta di kalangan golongan kaya.

Cadangan PR ini berdasarkan kepada keupayaan United Kingdom (UK) memungut 2.7 bilion pound sterling (RM14 bilion) daripada Cukai Warisan Harta pada 2011.

PR yakin pelaksanaan Cukai Warisan Harta juga boleh memungut cukai yang tinggi, kata Ong.

The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.