`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 13, 2014

Saiz kerajaan perlu dikecilkan, elak belanja besar

Tan Sri Muhammad Ali HashimTan Sri Muhammad Ali Hashim
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan disarankan perlu mula memikirkan cara untuk mengecilkan saiz kerajaan yang disifatkan terlalu besar itu hingga memakan belanja yang begitu banyak.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, langkah itu perlu bagi mengawal perbelanjaan negara yang terlalu banyak diperuntukkan dalam pengurusan.

“Sekarang ini Bajet (2015) sudah lepas jadi kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk mengecilkan saiz kerajaan. “Maknanya, sekarang ini kerajaan terlalu besar, apabila terlalu besar banyak belanja. Apabila belanja besar, (kerajaan) tak cukup duit. Sampai bila pun tak boleh selesai. Rakyat makin susah,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Katanya, kerajaan perlu merancang supaya hasil negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat.

“Jadi, kerajaan perlu ada satu perancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang daripada sekarang untuk mengecilkan saiz kerajaan yang terlalu besar. Apabila kerajaan sudah kecil nanti, perbelanjaan kerajaan kurang, hasil-hasil cukai boleh dimanfaatkan kepada rakyat sebab banyak lagi subsidi nanti yang perlu dipotong.

“Untuk menambah pendapatan rakyat nanti perlu cari program-program untuk tujuan itu bukan cuma untuk membayar gaji (kakitangan) kerajaan saja,” katanya.

Menyentuh soal pengurangan subsidi minyak yang dikenakan secara mengejut baru-baru ini yang menyebabkan harga RON95 dan diesel naik 20 sen, beliau berpendapat, tindakan itu mungkin akan terpaksa dilakukan.

Sehubungan itu, beliau berkata pengurangan subsidi itu membuatkan kerajaan mempunyai duit lebih namun ia jelas dilihat membebankan rakyat.

“Kerajaan memang akan terpaksa mengurangkan subsidi kerana beban subsidi itu beban cukai. Jadi, kalau lama-lama beban subsidi itu, memang kerajaan kena kurangkan. Apabila dikurangkan subsidi, maknanya kerajaan akan ada duit lebih tetapi ia akan membebankan rakyat.

“Jadi, kenapa kerajaan perlu kurangkan subsidi? Kerana kerajaan perlukan lebih duit untuk berbelanja besar. Nak bayar gaji...tengok untuk bayar gaji saja sudah berapa ratus bilion (RM)?

“Peruntukan pembangunan cuma RM50 bilion. Lebih RM200 bilion lagi untuk belanja operasi (mengurus). Jadi, kena kurangkan perbelanjaan operasi itu. Ada sesetengah agensi dan jabatan tidak lagi relevan...mungkin atau kurang (relevan) dalam konteks hari ini,” katanya.

Tekannya, rakyat marah dengan kenaikan harga minyak yang sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup itu kerana subsidi dikurangkan namun perbelanjaan kerajaan tidak dikurangkan.

Jika kurangkan saiz kerajaan, nanti penjimatan itu boleh membantu rakyat. Hari ini yang rakyat marah, subsidi (minyak) dikurangkan tapi belanja kerajaan tak kurang. Ini yang orang marah. Gaji dan elaun (Ahli Parlimen dan Menteri) nak naik lagi.

“Mungkin perlu ada rancangan agar beberapa agensi dan jabatan ditutup. Tapi apabila ditutup, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menutupnya tanpa menyusahkan pegawai-pegawai. Kena cari jalanlah. Sebab itu perlu ada perancangan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan tidak boleh terus menerus menggunakan dasar sama ekoran perubahan zaman yang menunjukkan segala kos akan tetap meningkat saban hari.

“Kerajaan tidak boleh lagi berjalan atas dasar yang ada seperti sekarang ini. Sebab pencen semakin naik dan gaji juga akan semakin naik. Jadi, jika kerajaan tidak mengecilkan saiz, daripada sekarang, duit memang tak cukup.

“Apa yang kita bimbang adalah, duit Khazanah negara untuk masa depan, Petronas...untuk anak cucu kita itu akan habis,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.