`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 19, 2014

Tanpa Anwar Malaysia Akan Lebih Baik?

Adakah Malaysia lebih baik tanpa Anwar?
Shahbudin Husin - Okt 19 2014

SUARA LANTANG: Tarikh 28 dan 29 Oktober ini merupakan penentuan hidup dan mati bagi kerjaya politik Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahkamah Persekuan akan bersidang selama dua hari pada tarikh itu untuk mendengar rayuan terakhirnya bagi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Jika didapati bersalah, beliau akan menghuni penjara sekali lagi. Sebelum ini Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun keatasnya. Mungkin tempoh hukuman yang dijatuhkan nanti dikekalkan lima tahun dan mungkin juga dikurangkan.
Tetapi pihak pendakwa yang diketuai oleh peguam terkenal Tan Sri Shafee Abdullah juga dilaporkan akan memohon agar hukuman lebih berat dipertimbangkan, mungkin sehingga penjara selama 20 tahun.
Menjelang tarikh itu pula, sementara penyokong Datuk Seri Anwar dijangka akan mengadakan solidariti dan turun beramai-ramai bagi memberi sokongan, pihak yang menentang pula mahukan pihak berkuasa segera bertindak kerana bimbang ianya memberikan tekanan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.
Namun, Datuk Seri Anwar dilihat tidak gundah menghadapi tarikh 28 dan 29 Oktober ini. Selain jadual dan aturcara hariannya berjalan seperti biasa, ramai yang menemuinya juga hairan kerana beliau dilihat langsung tidak tertekan walaupun yang bakal menunggunya adalah penjara yang bukan saja memisahkannya dengan ahli keluarga tetapi juga membunuh masa depan politiknya.
Beliau didapati riang dan tenang seperti biasa dan apabila ditanya peluangnya dalam perbicaraan nanti, hanya menjawab ringkas, "Insya Allah" sambil tersenyum.
Dengan usianya 67 tahun sekarang, jika didapati bersalah sama ada dipenjara lima tahun, 10 tahun atau 20 tahun dan termasuk larangan bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun lagi sebaik mengakhiri hukuman, tidak syak lagi kegagalan di Mahkamah Persekutuan kali ini adalah penutup karier bagi Datuk Seri Anwar.
Jika sebelum ini Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara keatas Datuk Seri Anwar untuk menghalangnya bertanding di Kajang dan memintas laluannya menjadi Menteri Besar Selangor, hukuman Mahkamah Persekutuan pula tidak lain umpama menghamparkan jalan mati untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Tetapi jika didapati tidak bersalah pula, pembebasan itu akan menjadi tangkal dan kekuatan bagi perjuangan terakhirnya menghadapi PRU 14 untuk menawan Putrajaya bagi mengakhiri pentas kuasa BN sejak lebih 50 tahun lalu mentadbir negara ini.
Namun cabaran yang menunggu di depan bukan saja jentera UMNO dan BN yang pastinya lebih agresif tetapi juga sejauh mana kemampuannya mengukuhkan hubungan dengan Pas dan DAP serta meyakinkan anak-anak muda untuk terus menerima perjuangan dan pimpinannya.
Sementara  sudah ada kelompok anak muda melalui LENSA mendakwa sudah letih dengan Datuk Seri Anwar, kelompok tertentu dalam Pas pula mulai menjauhinya dan menganggap beliau sebagai beban kepada Pakatan Rakyat. Kelompok ini juga secara terang-terangan, bukan saja meminggirkannya dengan membalas lirikan mata UMNO, malah berbalas senyuman serta menunjukkan perasaan mulai terpikat. Hanya belum "berdating" dan makan berdua-duaan saja lagi.
Jika didapati tidak bersalah pada 28 dan 29 Oktober ini juga, Datuk Seri Anwar harus segera merapatkan semula hubungannya dengan Pas.  Sejak Langkah Kajang lagi, Pas bagaikan sudah terbelah dua dengan kelompok yang menyokong dan mahu meminggirkannya hampir sama rata.
Dalam usia 67 tahun juga, PRU 14 adalah medan terakhir Datuk Seri Anwar mengetuai Pakatan Rakyat menghadapi BN. Jika berjaya memenangi pilihanraya itu, ia juga akan menjadi bukti sejauh mana beliau mampu membuktikan dan menjadikan kenyataan segala intipati reformasi untuk rakyat dan negara yang diperjuangkannya selama ini.
Jika gagal pula, anggaplah rezeki tidak memihak kepadanya dan  dalam PRU 15 nanti, cabaran itu harus diserahkan kepada pemimpin lain pula. Jika masih dipanjangkan usia, pada PRU 15 nanti usia Datuk Seri Anwar sudah menjangkau 75 tahun dan pastinya tidak begitu sesuai lagi terus berpencak di medan politik ketika itu. Penentuan bagi Datuk Seri Anwar hanyalah PRU 14 saja.
Meskipun demikian, jasa dan sumbangan Datuk Seri Anwar kepada rakyat sebenarnya sangat besar. Di sebalik masalah peribadi dan fitnah yang dihadapkan kepadanya, beliaulah satu-satunya pemimpin yang berjaya menyatukan parti-parti pembangkang sehingga memenangi paling banyak kerusi dalam Parlimen dan mampu menawan beberapa negeri.
Atas kekuatan dan kelantangan pembangkang jugalah yang menyebabkan rakyat mendapat pelbagai nikmat dan keistimewaan daripada kerajaan. Walaupun kerajaan turut didapati culas dengan mengamalkan perbelanjaan mewah, pemborosan, pembaziran dan sebagainya tetapi jika tanpa adanya pembangkang yang kuat, keadaan itu tentulah lehih bermaharajalela lagi.
Dalam hal ini, jasa dan sumbangan Datuk Seri Anwar akan terus tersemat di hati mereka yang mengutamakan kebaikan untuk rakyat dan negara. Ramai juga percaya, tanpa beliau parti-parti pembangkang akan bertelagah sesama sendiri dan membawa haluan masing-masing semula.
Sejak puluhan tahun dulu lagi, ketika bersama Abim, dalam kerajaan dan kemudian disingkirkan, nama Datuk Seri Anwar bagaikan sudah sebati dengan politik negara ini. Di ketika ada yang merasakan lebih baik beliau menghuni penjara, tapi ramai juga yang mahukannya terus berperanan seperti biasa.
Bagi sesetengah orang, Malaysia akan menjadi lebih baik tanpanya tapi ramai juga bimbang keadaan negara menjadi lebih buruk tanpa teguran dan kekuatannya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.