`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, October 11, 2014

Tiada Semakan Gaji, Cuma Bonus Setengah Bulan


Penjawat awam dapat bonus setengah bulan 

Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 bakal dinikmati kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari depan, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.

"Pemberian bonus ini akan dibayar pada Januari 2015," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015:Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di ibu negara, hari ini.

Perdana Menteri berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan penjawat awam, terutama kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan, kelak.

Pada Julai lepas, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menambah baik 252 lagi skim perkhidmatan sedia ada.

Ketika membentangkan Bajet 2014 tahun lepas, Najib telah mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju memberi bantuan bulanan RM300 seorang bagi menghargai khidmat pegawai dan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), JPNIN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seranta Felda, yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu," katanya. -Bernama


Bajet 2015: Cuepacs Tak Puas Hati

Bajet 2015 secara keseluruhannya tidak menceriakan penjawat awam, demikian kata Presiden Cuepacs, Azih Muda.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah 'bunga-bunga' sahaja tanpa memberikan satu gambaran jelas khususnya kepada penjawat awam.

"Cuepacs tidak berpuas hati kerana tiada pengumuman tentang semakan gaji atau kenaikan gaji penjawat awam yang mempunyai gaji statik.

"Penjawat awam tidak seperti ahli perniagaan yang mana pendapatan mereka berubah-ubah.

"Ketiadaan semakan gaji atau kenaikan menyebabkan penjawat awam tertekan dan tidak dapat mengekang kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, katanya, dari segi bonus, Cuepacs berterima kasih dengan bonus gaji setengah bulan, tetapi ia bukanlah seperti yang diharapkan iaitu bonus dua bulan.

"Walaupun dari segi indeks pencapaian antarabangsa menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik, tetapi inikah pengiktirafan yang diterima penjawat awam, sedangkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia boleh dinaikkan," katanya yang menganggap pencapaian ini tidak setanding dengan gaji.

Azih berkata, keputusan kerajaan menghapuskan wang proses pinjaman perumahan, peningkatan pinjaman perumahan dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam tetap dihargai.

Menerusi pembentangan Bajet 2015, selain pengumuman berkaitan bonus, kerajaan memberi perhatian berkaitan pembiayaan memiliki rumah di kalangan penjawat awam dengan menaikkan had kelayakan minimum pinjaman kepada RM120,000 berbanding RM80,000 sebelum ini, manakala had kelayakan maksimum dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

Selain itu, pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M akan ditingkatkan dengan meluluskan sebanyak 10,639 unit rumah, juga menurunkan harga minimum rumah PPA1M kepada RM90,000 berbanding RM150,000 seunit sebelum ini serta menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000. 
-mstar


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.