`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 9, 2014

Tikar terbang P Ramlee lwn permaidani ajaib – A Kadir Jasin



Dalam beberapa posting terbaharu, kita berbincang dan berbahas isu-isu serius. Kali ini marilah kita bercerita mengenai sesuatu yang lebih ringan dan mungkin menghiburkan. Orang putih kata, comic relief.
Tapi sebelum itu, tolonglah ambil perhatian yang komen “anonymous” tidak akan disiarkan. Dalam blog kita ini, pembahas wajib ada nama. Nama samaran dan nama pena pun tak apa. Angka pun boleh. Guna nama sendiri macam saya lagilah bagus.
Kita mulakan dengan menonton klip filem berikut oleh Allahyarham Seniman Negara, (Tan Sri) P Ramlee daripada Youtube.
Betapa asli (original) dan dalamnya pemikiran P Ramlee. Filem beliau dapat dengan kiasan dan sindiran membina. Dalam adegan di atas beliau menggantikan permaidani terbang dengan tikar mengkuang terbang.
Naik tikar dan permaidani ajaib lebih pantas daripada menunggang unta. Tetapi tikar dan permaidani ajaib hanya ada dan relevan dalam cerita P Ramlee dan hikayat Seribu Satu Malam sahaja. Dalam realiti, kita kena naik kapal terbang untuk perjalanan jauh dan pantas.
Arab berkhayal dan bersengketa. Barat mencipta dan membolot kuasa. Dunia Arab porak-peranda. Malang seribu kali malang, banyak orang kita sangat taksub kepada Arab sampai sanggup jadi pengebom bunuh diri dan berbunuh-bunuhan sesama Muslim.
Ada seorang bekas profesor memberitahu saya, dalam sebuah kitab agama lama Johor disebutkan iaitu kalau masih dalam keraguan setelah membaca kitab itu, pergilah bertanya kepada Arab yang terdekat. Selain untuk tujuan menghias, permaidani ada banyak kegunaan luar jangkaan. Dalam hikayat Seribu Satu Malam (The Arabian Nights), permaidani ajaib boleh terbang.
Bila ada permaidani, ada pulalah pengguna, pengeluar, pengedar dan peniaga permaidani (carpet traders). Carpet traders pula ada pelbagai jenis. Ada yang membekalkan permaidani kepada masjid dan surau. Cukup makan, jarang kaya dan sana sini buat pahala. Lazimnya Melayulah.
Ada carpet traders kelas eksklusif. Mereka bekalkan permaidani kepada istana dan rumah orang ternama. Mereka berjaya dan kaya. Bank bagi pinjaman mudah puluhan juta. Kalau pintar atau putar-belit mereka turut mendapat pengaruh dan kuasa. Jadilah mereka carpet traders with power.
Selain menjadi hiasan dan simbol status kepada pemiliknya, permaidani juga boleh dijadikan tempat menyembunyikan sampah dan debu seperti dalam pepatah Inggeris “sweeping under the carpet”.
Menggulung manusia dalam permaidani pun boleh seperti dalam legenda Cleopatra. Dia disembunyikan dalam gulungan permaidani untuk dibawa bertemu kekasihnya, Julius Caesar. Cleopatra berbuat begitu demi mengelak daripada dikesan dan dibunuh oleh musuh ketatnya, iaitu abangnya Ptolemy.
Apabila Caesar pulang ke Rom dan dinobatkan sebagai maharaja (emperor), Cleopatra mengikutinya. Tetapi apabila Caeser dibunuh oleh Brutus and Cassius, Cleopatra cepat-cepat lari dari Rom dan kembali ke Mesir. Natijahnya, dalam politik dua beradik pun boleh jadi musuh ketat dan dalam cinta berahi, macam-macam tipu helah digunakan. Pastinya orang yang menolong menyeludup Cleopatra dalam gulungan permaidani dianugerahkan duit dan pangkat.
Kemudian cerita mengenai kematian Khalifah Baghdad, al-Musta’sim pada tahun 1258. Apabila panglima tentera Mongol, Hulagu Khan menawan Baghdad, dia dikisahkan membalut al-Musta’sim dalam permaidani dan mengarahkan kuda memijaknya sampai mati. Diriwayatkan yang Hulagu percaya kepada nujum. Nujum memberitahu beliau memancung al-Musta’sim boleh mencetuskan malapetaka seperti gempa bumi.
Al-Musta’sim pula digambarkan sebagai seorang pemerintah yang lemah, berbolak-balik (vicillating), malas, suka minum serbat dan dikelilingi pemuzik serta badut.
Akhir kalam, panduan berbomoh daripada seorang bekas setiausaha bahagian Umno dari Pantai Timur. Katanya, banyak orang politik suka berbomoh. Ingat lagi cerita Mona Fandey-Mazlan Idris? Mazlan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Pahang.
Pesan beliau, sebelum meminta bomoh “mengunci” seseorang, pastikan bomoh itu tahu membukanya. Katanya, pernah berlaku si mangsa terkunci mati kerana si bomoh hanya belajar mengunci tetapi terlupa belajar membuka kunci.
Nota kaki: Blog ini tidak menggalakkan perbomohan dan sebarang kerja yang menyekutukan Allah. Wallahuaklam. – kadirjasin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.