`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, October 14, 2014

Video Pas Digesa Keluar PR Elak Dibuli


Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR.

Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR.

“Saya nak tahu kenapa dalam Pakatan Rakyat, PAS dibuli sedangkan Umno pun tak buli PAS.

“Kita dengan PAS mungkin berbeza pendapat, (tetapi) bercerai tidak.

“Malah saya mendoakan kalau PAS banyak-banyak kena buli, marilah duduk bersama BN,” kata Annuar sewaktu perbahasan Belanjawan 2015 di Parlimen hari ini.

Annuar sebelum itu menyebut tentang rungutan MP Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) menerusi Facebook yang menuduh PKR dan DAP membuli PAS.

Memetik kontroversi sekitar penggantungan anggota majlis PAS di Pulau Pinang, Annuar berkata BN sendiri tidak pernah membuli PAS sedemikian rupa.

Beliau kemudian memuji PAS dan pada masa yang sama, beberapa MP BN menepuk-nepuk meja sebagai tanda sokongan.

“Kekuatan PKR dan DAP bukan datang daripada DAP dan PKR.

“Kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS.

“PAS tidak akan hancur kerana mereka ‘istiqamah’ dalam perjuangan mereka.

“Yang akan hancur orang lain,” katanya merujuk kepada tema muktamar PAS baru-baru ini.

Kenyataan itu kemudiannya dibalas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan “termakan umpan” yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN.

“Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan,” kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar.

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini.

Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR.

“Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS.

“Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi,” katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya.

Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar.

Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.