`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 11, 2014

Pengakuan Terbaru Dari Presiden PAS

Haji Hadi akui kurang sihat, perlu banyak rehat

Kesihatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya memecah kesunyian setelah sekian lama membisu sejak berakhirnya kemelut menteri besar Selangor hujung September lepas.

Beliau memberitahu Harakahdaily semalam, keadaan kesihatannya tidak berapa baik kebelakangan ini, memaksanya menolak untuk memenuhi jemputan ceramah yang diterima.

Hadi dilaporkan akhir-akhir ini kerap tidak hadir mesyuarat dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), juga mesyuarat partinya sendiri, sejak krisis menteri besar Selangor berakhir.

"Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar," katanya ketika ditemui di Parlimen selepas membahaskan Bajet 2015 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Menurut portal berita itu, tubuh ahli Parlimen Marang itu kelihatan sedikit susut berbanding biasa, malah ketika berbahas sebelumnya, suaranya sering tersekat-sekat dan hanya berbahas tidak lebih 10 minit.

Katanya kepada lidah rasmi parti itu, beliau tidak sekerap dahulu aktif memenuhi undangan ceramah yang biasa diadakan pada waktu malam.

"Malam ini pun tak ada program, saya perlu berehat," beliau dipetik berkata.

Pada Mei lalu, Hadi dimasukkan ke hospital di Istanbul, Turki setelah mengalami sesak nafas ketika dalam rangka program di negara itu.

Beliau kemudian terpaksa berehat hampir sebulan di sana ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau aktif seperti biasa.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Hadi sedang dipujuk rakan-rakannya agar berundur demi masa depan PAS dalam PR dan masalah kesihatannya yang tidak melayakkannya terus memimpin parti Islam itu.

Sumber berkata, jika Hadi setuju berundur, PAS boleh memperbaiki hubungannya bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin beliau.

Hadi tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PR sejak tidak bersetuju dengan tindakan PKR dan DAP menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada Ogos lepas.

Beliau juga tidak menghadiri pelancaran Belanjawan 2015 PR dan pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

Ketidakhadiran Hadi dan keputusan yang dikeluarkannya seringkali bercanggah dengan PR menyebabkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi amaran kemungkinan PAS akan meninggalkan gabungan itu sekiranya presidennya terus tidak memberikan komitmen.

Sumber berkata, jika Hadi berjaya dipujuk untuk berundur, beliau boleh mengambil alih jawatan Mursyidul Am PAS yang kini disandang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang Hadi bercadang membawa PAS keluar PR, dan katanya beliau sering berhubung dengan Hadi.

"Saya tidak rasa begitu, tidak elok mengatakan demikian. Saya ada berkomunikasi dengan beliau. Ia bukanlah satu masalah," kata ketua umum PKR itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.