`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 26, 2015

13 Gengster gaduh rebut tempat letak kenderaan ditahan Polis


Polis menahan 13 individu disyaki terlibat dalam insiden tembakan membabitkan dua kumpulan gengster di Flat Taman Desa Gombak semalam berhubung rebutan tempat letak kenderaan sempena Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dua daripada mereka merupakan wanita dan kesemuanya ditahan di sekitar perumahan dan kedai di daerah tersebut.

Kesemua suspek ditahan sejak semalam itu berusia antara 19 hingga 30 tahun.

"Kesemua mereka ditahan reman selama lima hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media taklimat pengurusan trafik sempena Thaipusam di Kuil Batu Caves di sini.

Gara-gara berebut kawasan tempat letak kenderaan bagi perayaan Thaipusam yang akan berlangsung di Kuil Batu Caves pada 3 Februari ini, seorang lelaki nyaris maut akibat terkena tembakan oleh individu yang tidak berpuas hati dengannya.

Kejadian berlaku pukul 6.30 pagi semalam semasa mangsa yang berusia 26 tahun hadir di kawasan berhampiran sebuah flat Taman Desa, Gombak bagi meninjau lokasi tempat letak kenderaan sebelum terserempak dengan sekumpulan lelaki.

Mengulas lanjut, kata Ali, kejadian itu mungkin berpunca daripada kegagalan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

"Kita juga merampas barang berkaitan dengan insiden untuk disiasat. Daripada 13 suspek itu ada yang mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis.

"Mangsa kejadian dirawat di hospital Selayang dan kita menyiasat kes ini dalam semua aspek termasuk kaitan dua wanita itu dalam insiden tembakan terbabit,"katanya.

Katanya, bagi menjamin keselamatan 1.6 juta pengunjung dan penganut Hindu ke Batu Caves, seramai 1,200 pegawai dan anggota polis akan bertugas bermula esok hingga 6 Februari.

Tambah beliau, polis juga menempatkan balai polis bergerak di lima zon sekitar kuil tersebut bagi memantau sebarang insiden kutipan parkir haram.

Kita akan memantau pengutip parkir haram atas jalan dan bawah jambatan sekitar kuil yang turut mengancam untuk merosakkan kenderaan pengunjung Thaipusam.

"Walaupun terdapat kawasan parkir persendirian sekitar kuil ini, berlaku insiden kutipan parkir haram di atas laluan dan tempat terlarang oleh individu tidak dikenali.

"Polis akan pantau secara serius dan mencegah aktiviti mereka mengikut Seksyen 50 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mana-mana pengunjung dipaksa parkir haram dan dikutip wang sila lapor kepada polis," tegasnya. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.