`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 18, 2015

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah

Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama-sama mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak. - Foto TRP/Zalikha Ameera

KUALA LUMPUR, 18 Januari:

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah seperti dakwaan sesetengah pihak kerana ia dilakukan bagi memperingati perjuangan Rasulullah SAW.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak dengan tema: “Kesedarhanaan Dikekalkan, Ekstremisme Dilawan”, semalam.

Beliau menyifatkan pihak yang melabel sambutan maulud nabi sebagai bidaah adalah orang yang cetek pengetahuan Islam.

“Memang zaman Rasulullah SAW dahulu tiada sambutan Maulidur Rasul tetapi selepas tahun 70 Hijrah, ia mula disambut bagi memperingati Rasulullah SAW dan mempamerkan kehebatan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul juga disifatkan ulama sebagai tidak bercanggah dengan Islam dan bukannya bidaah,” katanya.

Menurutnya, jangan sewenang-wenangnya melabel sesuatu perkara sebagai bidaah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.

Berteraskan tema Maulidur Rasul, beliau mahu Selangor menjadi negeri kosmopolitan, maju, aman dan menolak sebarang bentuk eksterisme agama dan kaum kerana ia boleh menghancurkan negara.

Dalam pada itu, Azmin meminta kejadian serangan akhbar mingguan Satira di Paris, Charlie Hebdo dijadikan sebagai tauladan kerana Islam tidak menyuruh berjuang secara keganasan.

“Dari zaman Rasulullah SAW lagi, kita tidak diajar mengenai keganasan maka jangan bertindak ganas kerana ia hanya memburukkan nama Islam di mata dunia.

“Saya juga menggesa Barat untuk lebih menghormati sensitiviti Islam supaya tidak membangkitkan kemarahan umatnya. Berhati-hatilah dalam menulis,”ujarnya.

Sejurus perasmian, Azmin menyampaikan sumbangan dana daripada Lembaga Zakat Selangor kepada mangsa kebakaran rumah di Taman Permata.

Sumbangan disampaikan kepada enam keluarga dan sebanyak RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada tahap kemusnahan.

Keseluruhan sumbangan yang disampaikan berjumlah RM12,500.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.