`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, January 2, 2015

[VIDEO & GAMBAR] PASCA BANJIR: Ramai Yang Hilang Tempat Berteduh....


Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan terus mencatat penurunan berbanding petang tadi manakala di Perak sedikit meningkat dan di Pahang tidak berubah. 

Di KELANTAN, jumlah mangsa di 166 pusat pemindahan di tujuh jajahan berkurangan kepada 30,309 orang berbanding 42,163 petang tadi, demikian menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan. 

Keadaan cuaca cerah dan tiada hujan sejak lima hari lalu membolehkan semakin ramai mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. 

Setakat malam ini, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Tanah Merah ialah 14,184 orang, Kuala Krai (5,645 orang), Machang (3,850 orang), Gua Musang (3,006 orang), Kota Baharu (1,440 orang), Pasir Mas (1,208 orang) dan Tumpat (976 orang). 

Di TERENGGANU keadaan banjir di negeri itu secara keseluruhannya semakin pulih dan jumlah mangsa banjir juga turun kepada 7,753 orang malam ini berbanding 8,664 orang petang tadi. 

Menurut portal MKN Terengganu, mangsa yang berada di pusat pemindahan sekarang ialah 4,072 orang di Kemaman, Dungun (3,544 orang), dan Kuala Terengganu (137 orang). 

Lapan pusat pemindahan masih beroperasi sehingga malam ini iaitu empat di Dungun, Kemaman (tiga) dan Kuala Terengganu (satu). 

Berbeza di PERAK, jumlah mangsa banjir di kawasan Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung semakin meningkat kepada 7,428 mangsa daripada 2,024 keluarga berbanding 7,412 mangsa daripada 2,018 keluarga, petang tadi. 

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah meningkat kepada seramai 5,252 mangsa daripada 1,438 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan. 

Di daerah Kuala Kangsar, jumlah mangsa meningkat kepada 1,210 orang daripada 321 keluarga manakala Hulu Perak (764 mangsa), Kerian (107 mangsa) dan Manjung (95 mangsa). 

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan kekal sebanyak 138 orang di dua daerah terjejas iaitu Segamat (93 orang) dan Batu Pahat (45 orang). 

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata jumlah mangsa banjir sehingga 9 malam ini kekal 45,366 orang sepertimana petang tadi. 

Katanya kesemua mereka ditempatkan di 215 buah pusat pemindahan di lapan daerah dengan Temerloh mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 20,962 orang, Pekan (11,220 orang), Jerantut (4,563 orang), Bera (3,228 orang), Maran (2,562 orang), Lipis (1,641 orang), Kuantan (1,085 orang) dan Rompin (105 orang). - Bernama 


Berjurai air mata lihat kesan bah di Manek Urai

KUALA KRAI: Pertama kali menjejak kaki ke Kampung Manek Urai Lama selepas menyeberangi jambatan merentangi Sungai Lebir, hati sesiapa sahaja menjadi luluh.

Malah ada yang tidak dapat menahan perasaan. Tiba-tiba berjurai titisan jernih di pipi melihat kekuasaan Yang Maha Pencipta.

Semuanya sudah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Ketika melewati jambatan di Kampung Manek Urai Baru dari awal lagi sudah kelihatan kereta tertunggeng, terbalik dan terperusuk ke bawah lembah.

Pelbagai situasi yang tidak pernah disaksikan dapat dipertonton di kampung tersebut. Panoramanya hampir serupa dengan Acheh pada 2004. Cuma yang membezakan mangsa korban tidak ramai.

“Di Acheh tsunami ombak, di sini tsunami air sungai. Sama-sama kuat, sama-sama gagah. Biar apa pun kami bersyukur kerana tidak berlaku banyak kehilangan nyawa.

“Sepanjang tujuh malam kami berhempas pulas untuk menyelamatkan diri. Ada yang terpaksa dua kali berpindah selepas tempat pertama juga dinaiki air.

“Berteduh di tempat pemindahan dengan berhimpit-himpit dan berdepan dengan kekurangan makanan. Kami juga memasak nasi menggunakan air bah,” katanya seorang mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama.

Beliau berpindah ke Masjid Kampung Manek Urai Baru bersama keluarga dan penduduk lain. Hanya bukit di belakang masjid yang menjadi tempat mereka berlindung.

Kawasan lain semua tenggelam. Kampung Manek Urai Lama hanya tinggal Bukit Kajang. Dua kampung tenggelam sama sekali pada bah besar tersebut yang bermula 22 Disember.

Keadaan luar biasa yang berlaku di Manek Urai Lama mengundang ramai datang berbodong-bodong bagi melihat sendiri kesan tsunami air bah.

Kenderaan bertali arus biar pun terpaksa meredah selut yang agak tebal. Mereka tenggelam dalam kelu sambil merakam kesan bah besar yang tidak pernah disaksi sebelum ini.

“Orang tua yang meniti usia lebih 80 tahun di Kampung Chatang memberitahu tidak pernah melihat lagi bah besar seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Bah merah yang dikatakan paling besar dalam sejarah pun tidak sebesar bah yang berlaku kali ini. Dahulu bah merah air lambat surut, sekarang banjir surut lebih cepat,” kata Zakaria Ibrahim, 57.

Menjejaki Kampung Manek Urai memperlihatkan suatu yang tidak pernah terlintas di fikiran manusia. Ada sisa-sisa rumah terletak di pokok, rumah menghimpit antara satu sama lain dan pokok tumbang merentangi jalan.

Masjid Urai Lama juga dihimpit sebuah rumah. Apa yang tinggal sekarang hanya tapak rumah, tiang dan simen konkrit. Banyak tiang elektrik juga menyembah bumi.

Ada juga besi rumah yang belum siap bengkok seperti dibelok seseorang menggunakan jentera. Ada dinding konkrit rumah pecah dan terhumbang ke bawah.

Masih banyak lagi jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui, kesan-kesan runtuhan rumah berserempak di sana sini.

Sementara itu Pengarah Bilik Operasi Bencana Banjir Kuala Krai, Hilmi Abdullah menafikan dakwaan bekalan bantuan banjir melimpah ruah di Kuala Krai.

Katanya, dakwaan itu mungkin dibuat mereka yang tidak berada di lapangan dan tidak terlibat samada sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Permintaan barang keperluan asas terutamanya beras, sardin, gula, biskut dan pampers amat tinggi dan belum mencukupi. Bekalan air mineral dan minuman masih dapat menampung permintaan setakat ini,” katanya di sini. 
-HD





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.