`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 9, 2015

14 Februari – Alahai rapuhnya iman!

Jika sejambak bunga dan makan malam istimewa boleh memesongkan akidah, memang rapuhlah iman.
COMMENT
14ebTak lama lagi 14 Februari akan menyusul. Seperti biasa akan ada pakar-pakar agama yang membanjiri dada akhbar, media serta portal siber dalam menasihati umat Islam agar menjauhkan diri daripada meraikan Hari Kekasih dek kemungkinan terpesong akidah.
Jika sejambak bunga, sekotak coklat serta makan malam istimewa boleh memesongkan akidah, maka memang rapuhlah iman seseorang Muslimin itu.
Kita bukannya budak hingusan
Kita semua sedia maklum bahawa Hari Kekasih adalah satu tarikh yang direkacipta oleh para peniaga untuk mendatangkan keuntungan. Inilah harinya untuk para peniaga menaikkan harga dan mengadakan promosi sekadar meningkatkan jualan dan keuntungan. Bukan hanya kaum Muslimin, ramai juga rakan yang tidak beragama Islam tetapi mengambil keputusan tidak meraikan Hari Kekasih kerana sedar ianya merupakan satu pembaziran.
Kita bukannya budak hingusan yang mudah ditipu. Kita sudah arif akan asal usul Hari Kekasih. Tapi peliknya, apabila golongan yang bijak pandai agama menasihati kita agar menjauhkan diri daripada meraikan Hari Kekasih, kita menjadi pak turut. Kita terima sahaja kata-kata mereka bahawa Hari Kekasih adalah diraikan bagi memperingati hari kematian St. Valentine, seorang paderi Kristian.
Saya hairan. Adakah St. Valentine itu penjual bunga? Ataupun pengusaha restoran makanan? Mungkinkah beliau tuan punya kilang coklat? Atau penjual kad ucapan? Apa kaitan seorang paderi dengan hari kekasih sedangkan paderi tugasnya setia di gereja?
Setahu saya tak ada pun upacara mengagungkan St. Valentine sebagai sebahagian daripada perayaan Hari Kekasih. Bagaimana pula menghadiri makan malam pada 14 Februari boleh membawa kita ke kancah pemesongan akidah?
Hari Kekasih menggalakkan maksiat
Ada pula yang risau Hari Kekasih menggalakkan aktiviti maksiat dikalangan golongan muda. Masya Allah, kalau umat kita hendak bermaksiat, tidak perlu menunggu tarikh 14 Februari setiap tahun. Setiap masa, setiap hari, ada sahaja umat kita yang sibuk bermaksiat.
Cubalah pergi belakang sekolah jika mahu lihat pelajar bermaksiat. Pergilah ke celah tersembunyi tingkat atas bertangga di pusat beli belah untuk melihat pemuda pemudi Islam yang gah beromen. Pergilah ke belakang batu-batu di tepi pantai untuk menonton tayangan percuma romantika di pantai. Pergilah.
Jika maksiat sememangnya sudah berleluasa di merata tempat, mengapa pula tarikh 14 Februari dilihat sebagai tarikh yang mempropagandakan maksiat? Apa sebab para pakar agama kita melabelkan Hari Kekasih sebagai hari maksiat? Cuba fikir.
Jangan jadi pak turut. Gunakan akal.
Islam menuntut kita menggunakan akal, bukan sekadar menjadi pak turut. Sayangnya dewasa ini kita semua sudah menjadi lemah tengkuk – asyik mengangguk kepala dan mengiyakan segala kata-kata yang dilemparkan tanpa menggunakan otak.
Jika Hari Kekasih bercanggah dengan ajaran agama Islam, bagaimana pula dengan sambutan Hari Lahir dan Hari Ulangtahun? Bukan sahaja tarikh Hari Lahir berpandukan kalendar Kristian, perayaannya juga langsung tiada mempamerkan ajaran Islam. Mengapa perlu meniup lilin, memotong kek dan menyanyi lagu hari jadi? Mengapa tidak sahaja adakan kenduri doa selamat mengikut tarikh lahir berpandukan kalendar Islam? Fikir.
Bagaimana pula dengan sambutan Tahun Baru? Adakah keIslaman kita sekadar pada nama sahaja memandangkan kerajaan kita sendiri berbelanja sakan meraikan kehadiran tahun baru sedangkan perayaan Maal Hijrah ala-ala melepaskan batuk di tangga sahaja? Fikir jangan tak fikir.
Di mana letaknya iman?
Sesungguhnya iman kita bukanlah terletak pada pakaian yang dipakai, ayat yang terucap, bunga yang dikendong atau hadiah yang diberi. Iman terletak di benak sanubari. Selagi akidah dan kepercayaan kita utuh bahawasanya tiada Tuhan selain Allah serta menjunjung kasih pada Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah, maka tiadalah perlu dirisau akan hal remeh-temeh.
Kita umat Muslimin sudah maklum dengan ‘nawaitu’. Kita yakin dengan apa sahaja pilihan dan cara hidup asalkan ‘nawaitu’ kita benar. Jadi jika kita mengadakan makan malam dengan teman istimewa pada 14 Februari berbekalkan sejambak bunga diiringi ‘nawaitu’ yang betul, di mana salahnya?
Sepertimana akidah seseorang yang meraikan Hari Lahir, Hari Ulangtahun dan Tahun Baru takkan terlentur, demikian jugalah akidah umat Islam yang bercadang keluar makan malam bersama teman istimewa di malam 14 Februari.
Usahlah kita sendiri memperlekehkan keimanan kita. Jika iman kita sekadar terletak pada perkara-perkara yang remeh temeh, tak perlulah kita salahkan Hari Kekasih, padahal sememangnya kita sendiri yang kurang didikan agama.
Allahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.