`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, February 8, 2015

Kepimpinan Najib lemah berbanding Dr Mahathir, kata mufti Perlis

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Datuk Seri Najib Razak perlu mengembalikan identitinya sebagai perdana menteri yang mewakili semua kaum di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Februari, 2015.
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Datuk Seri Najib Razak perlu mengembalikan identitinya sebagai perdana menteri yang mewakili semua kaum di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Februari, 2015. 

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat lambat bertindak, tidak seperti yang ditunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mufti Perlis itu berkata, jika Najib tidak membaiki corak kepimpinannya, maka tidak mustahil Malaysia akan terus dilanda dengan masalah.

“Ini soal masalah kepimpinan. Najib lambat. Saya suka cara (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad).

“(Sekarang) dekat bertumbuk, baru hendak buat keputusan. Itu pun tidak konkrit, yang (boleh) menggambarkan kepimpinan yang bagus. Kita perlu pemimpin bijaksana, pintar, (dan) tangkas. Saya rasa Najib pada masa ini tidak dapat memimpin dengan baik.

"Jika cara kepimpinan begini berterusan, negara tidak akan henti dengan masalah. Jadi Najib (perlu) kemas kini kepimpinannya. Apa yang berlaku dalam negara kini tidak baik,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.

Asri berkata, Najib perlu mengembalikan identitinya sebagai seorang perdana menteri yang mewakili semua kaum.

Katanya, apa yang dilihat kini dalam pentadbiran Najib adalah wujud kebocoran dalam aspek pentadbiran kerajaan.

“Najib perlu kembalikan identiti beliau, perlu jadi PM untuk semua.

“Ada majoriti, ada minoriti, ada hak orang Melayu. Lama juga Umno memerintah Tanah Melayu, okey saja, tiada kelemahan dan (tidak) timbul isu-isu begini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua “dinosaur” dalam politik perlu disingkirkan dengan memberikan contoh yang berlaku dalam kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, apa yang berlaku pada Anwar sejak dahulu skrip yang sama, oleh sebab itu arena politik memerlukan muka-muka baru.

“Pemimpin yang baru datang, kalangan orang lama akan bangkitkan lagi isu sama. Kita mahu muka-muka baru, kita tak nak lagi isu-isu lama, isu peribadi ni.

“Pelbagai lagi isu, soal ketamadunan, soal hala tuju negara yang pada saya belum jelas. Kita bukan hendak dengar (cara) selesai isu, (iaitu) dengan pergi berhimpun di mahkamah untuk dengar masalah peribadi.

“Tetapi biarlah ia mengenai hak tuntutan rakyat, macam tuntutan royalti minyak Kelantan. (Itu) Lebih baik daripada pergi dengar isu peribadi manusia. Perpecahan ini puncanya politik, bagi muka barulah,” katanya.

Selasa ini, Anwar akan berada di dalam kandang Mahkamah Persekutuan menantikan keputusan rayuan liwatnya yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Pada September 2004, keputusan majoriti 2-1 mahkamah membebaskan beliau dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja daripada tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii bersama Azizan Abu Bakar yang merupakan pemandu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar.

Dalam kes liwat keduanya, Mahkamah Rayuan tahun lalu menjatuhkan hukuman terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana melakukan salah laku seksual terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah unit kondominium di Desa Damansara, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Pada 2012, hakim perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar atas alasan integriti sampel diragui.

Bagaimanapun, Zabidin menerima Saiful sebagai saksi berkredibiliti. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari ini akan menentukan sama ada testimoni Saiful mampu membalas ruang-ruang kosong dalam hujah pasukan pembelaan Anwar. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.