`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, February 20, 2015

Minyak turun, kencing pun turun

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjpK9eCmxiVQHfSuLnCL8CqQVsNf6RELarkMFiQgi3M3SGbByOYOhdSeou-RM_9v66MdCcDngsL5Zn5nosgTO0l7QcJ1Bop-MEjB_Fu2HxKPU4IaSwc7me063CjwL2wdMhIUI19lE3lMTM/s1600/minyak-turun.jpg
HARAP-harap harga minyak turun lagi, supaya pengguna dapat menikmati penurunan harga barangan dan perkhidmatan. Setakat ini beberapa pasar raya mega telah menurunkan harga banyak barang keperluan harian, membuatkan ramai suri rumah tersenyum.

Tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun akan diturunkan. Seperti yang diumumkan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015, pengguna di Semenanjung akan menikmati penurunan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj).

Tambah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu, purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula diturunkan sebanyak 1.20/kWj.

Seperti yang dilaporkan media, dengan tarif baharu itu pengguna domestik dijangka menikmati pengurangan bil elektrik pada lingkungan RM13.50 hingga RM45 dalam bil bulanan.

Kalau harga minyak dunia terus jatuh, ramai mengandaikan barangan dan perkhidmatan lain pun akan ikut turun. Api sudah turun, maka pengguna berharap tarif air pun akan turun. Bagus lagi sekiranya tarif Telekom pun ikut turun.

Apakah itu juga bererti kadar bayaran Indah Water Konsortium (IWK) akan turun? Kita tunggu dan lihat. Tetapi kalau mengikut kenyataan menteri sebelum ini, syarikat pembetungan negara itu belum membuat keuntungan. Kos prasarana dan kerja-kerja yang dilakukan jauh lebih besar dari kadar yang dibayar oleh pengguna.

Lagi pun pada hemat saya, kadar bayaran perkhidmatan pembetungan di rumah kita masih rendah, hanya RM8 sebulan. Kalau kira hari, hanya 27 sen sehari. Kalau kongsi satu keluarga lima orang campur seorang pembantu rumah, setiap orang hanya perlu membayar 4 sen sehari.

Apalah RM8 sebulan untuk kerja-kerja kotor di rumah kita? Kalau diupah RM100 sebulan pun rasanya tuan atau penghuni rumah tidak sanggup melakukan kerja-kerja busuk itu. Kot-kot seminggu hilang selera makan. Maka lebih baik bayar tidak sampai RM10, boleh terus tidur lena, dan makan pun tiada gangguan perasaan.

Tetapi ada pula sesetengah orang kompelin, kadar sama yang dikenakan oleh IWK pada setiap rumah sekarang macam tidak adil. Pada kadar sekarang, tidak kira buang air 10 kali atau 100 kali sebulan, setiap rumah kena bayar RM8.

Hatta sekiranya dalam sebulan penghuni tidak kencing walaupun sekali – sebab bercuti di luar negara, atau diwadkan di hospital kerana penyakit kronik – tetap dia kena membayar pada kadar yang sama.

Sebab itu dicadangkan supaya diperkenalkan satu sistem bil yang lebih adil dan saksama. Apa yang dikenali sebagai Tarif Volumetrik mungkin lebih munasabah untuk pengguna yang lebih banyak buang air – kecil atau besar – di luar rumah, seperti di tempat kerja, di R&R sepanjang lebuh raya, atau di tandas-tandas awam.

Di bawah kaedah ini bil atau tarif tidak lagi dikenakan berasaskan jenis atau nilai harta, tetapi setiap rumah akan dikenakan caj berdasarkan penggunaan sebenar. Ertinya, lebih banyak air kumbahan @ sisa kekotoran dicurahkan ke dalam tangki septik, lebih tinggi bayaran yang dikenakan.

Melalui kaedah sekarang, pelanggan domestik mencurahkan air ke dalam tangki septik sebanyak mana pun tetapi bayar tetap. Contoh rumah murah bayar RM2 sebulan, rumah biasa dikenakan RM8 sebulan.

Sekiranya tarif baharu ini dikuatkuasakan penghuni setiap rumah akan lebih berhati-hati dan berjimat dalam penggunaan air. Mereka tahu setiap titik air yang digunakan di bilik mandi, tandas, mesin basuh, singki di dapur dan lain-lain yang disalurkan ke tangki septik, akan dicaj. Lagi banyak mereka melimpahkan air dan sisa, lagi tinggi bil akan dibayar.

Sebenarnya orang kita terlalu banyak melepaskan air kotor @ air sisa kumbahan, iaitu 65 juta liter sehari di seluruh negara, atau 1.95 bilion liter sebulan, atau 23.4 bilion liter setahun.

Bayangkan sekiranya air kotor dan kumbahan yang banyak itu tidak dirawat dengan sempurna dan dilepaskan begitu sahaja ke sungai kita, pasti kehidupan kita terdedah kepada pelbagai penyakit bawaan air. Apabila sumber air terjejas kehidupan menjadi tidak sempurna, tidak selesa.

Mujur ada syarikat pembetungan yang menangani tugas-tugas kotor dan busuk sepanjang 24 jam, tujuh hari seminggu, untuk membolehkan kita tidur lena, bernafas dengan nyaman, dan hidup sempurna. Jadi, bayarlah bil IWK.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.