KUALA LUMPUR, 7 Februari:
Rakyat Malaysia digesa turun padang dan berkumpul bagi mendengar ceramah terakhir daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ceramah yang bertajuk ‘Rakyat Hakim Negara’ itu akan diadakan pada 9 Februari ini di Padang Timur, Petaling Jaya.
Sekretariat Rakyat Hakim Negara, Saifullah Zulkifli berkata ceramah itu akan dihadiri ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami ingin menjemput rakyat Malaysia untuk berkumpul di malam Grand Finale pada 9 Februari ini.
“Satu daripada topik utama ceramah itu ialah mengenai kes fitnah serta isu-isu yang berkaitan seperti penyalahgunaan kuasa dan penindasan dengan menggunakan Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu artikel Keadilan Daily sambil menambah bahawa salah satu topiknya ialah mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).Dia berkata, pada 10 Februari ini merupakan hari keputusan mahkamah berkenaan kes liwat kedua Anwar dan semua penyokong PKR digesa hadir bagi memberikan sokongan kepada Anwar.
“Umat Islam digesa untuk berkumpul dan berdoa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum berjalan dengan Anwar ke Istana Kehakiman di Putrajaya pada pukul 8 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, Keadilan Daily juga melaporkan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa parti dan penyokong pakatan untuk berkumpul di hadapan bangunan mahkamah di Putrajaya pada hari Selasa.
“Saya menggesa mereka untuk mengadakan barisan bersatu untuk menunjukkan sokongan terhadap Anwar pada 10 Februari,”katanya.
Beliau berkata kes itu tidak mempunyai merit dan disifatkan sebagai tidak adil.
“Pertuduhan itu tidak adil. Ia adalah begitu jelas bahawa kes itu tidak mempunyai merit,” katanya. -therakyatpost