KOTA BHARU - Seorang pelajar cemerlang Kolej Vokasional Bachok direman seminggu bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar junior di asrama kolej sama, malam semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 17 tahun tiba di Mahkamah Majistret Bachok dengan lengkap berpakaian lokap pada jam 8 pagi.

Semalam, seorang pelajar kolej sama, Mohamad Nur Aqram Zime, 16, meninggal dunia selepas didakwa disepak seorang seniornya pada jam 12.30 tengah malam di bilik asrama mangsa.

Mangsa meninggal dunia akibat salur darah pada leher sebelah kanan pecah dan terkoyak menyebabkan pendarahan menyeluruh pada otak akibat sepakan bertubi-tubi.

Kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pelajar tahun satu kolej itu yang dikatakan tidak bertegur sapa dengan suspek.