`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 11, 2015

Gendang Sudah Dipalu, Adakah Pemimpin UMNO Berani Bersoal Jawab Dengan Najib?

Image result for najib, tabung haji and 1mdb land dealImage result for najib, tabung haji and 1mdb land deal

Hari ini, 11 Mei adalah hari ulangtahun UMNO yang ke 69. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, hari ulangtahunnya kali ini lebih menandakan bermulanya detik pertembungan berbanding mengukuhkan lagi perpaduan.

Perdana Manteri paling lemah dalam sejarah UMNO, Najib Razak bukan saja diserang oleh Tun Mahathir Mohamad dan mahukannya berundur,  malah mula dipertikai oleh pimpinan kanan parti sendiri. 

Sempena sambutan ulangtahun ini, Najib juga dijadual menemui Ketua-Ketua UMNO Bahagian bagi menjelaskan kedududukan semasa pelbagai isu dalam parti dan negara. Ini adalah perjumpaan pusingan kedua di mana dalam perjumpaan pertama dulu, semuanya berbaju merah dan bersolidariti untuk berdiri teguh bersama Perdana Menteri.

Untuk kali ini, masihkah ada baju merah itu atau masing-masing berpakaian ikut suka hati sendiri?

Beberapa hari sebelum ini, Muhyiddin Yassin bersuara dari Milan, Italy mahukan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan dan mengatakan beliau "tak tahu nak jawap apa" mengenai 1MDB apabila berhadapan dengan rakyat.

Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pimpinan lain tidak segan-segan lagi bersuara mengenai beberapa kelemahan pentadbiran Najib serta mahukan tindakan segera diambil.

Pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji di ketika syarikat ini dipertikai dari segi ketelusan dan sejumlah wang hilang yang tidak dijawab, seolah-olah mula membakar semangat semua pihak untuk terus bersuara.

MCA, MIC dan Gerakan, walaupun parti mereka sendiri banyak masalah, turut bercakap mengenai 1MDB dan seperti mereka juga ingin menunjukkan simpati kepada makcik dan pakcik di kampung-kampung yang menyimpan wang di Tabung Haji.

Persoalannya, benarkan pembelian itu dilakukan secara tidak telus dan adakah ia dimaklumkan dalam kabinet atau sebaliknya?

Di Tawau semalam, selain sekali lagi bermadah Bugis untuk terus mempertahankan jawatannya dan tidak tunduk kepada desakan untuk berundur, Najib juga mengungkit sokongannya kepada Tun Mahathir ketika pertandingan UMNO 1987 dahulu.

Barangkali ramai yang masih ingat, ketika itu Najib hadir di saat-saat akhir memberikan sokongan kepada Mahathir yang berlawan dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam pertandingan itu Tun Mahathir menang dengan majoriti 43 undi.

Apakah sokongan saat akhir itu yang membuatkan Tun Mahathir menang atau Najib sebenarnya berpihak di saat akhir kerana sudah mengetahui Tun Mahathir akan menang?

Selain itu, apakah tiada langsung bantuan daripada Tun Mahathir kepadanya dari segi memberi peluang dan kedudukan selepas itu sehingga Najib perlu bersikap "buruk siku" sebegitu rupa?

Dari segi pendirian, kenyataan Najib di Tawau itu bukan saja menyerlahkan sikapnya untuk mula menyerang dan berlawan dengan Tun Mahathir, tetapi juga tidak tunduk kepada desakan yang mahukannya berundur. Najib hakikatnya sudah memalu gendang untuk berlawan dengan sesiapa saja yang mahi menyingkirkannya.

Tun Mahathir seperti yang ramai sedia maklum mengenai "hati keringnya", beliau tidak pernah berundur atau berganjak daripada sesuatu yang sudah dimulakannya. Sekembalinya dari umrah nanti, Tun Mahathir sudah pun ada program jelajah membalun Najib di Ipoh pada 16 Mei ini.

Beliau juga boleh menjawab apa yang Najib perkatakan mengenai pertandingan 1987 itu di blognya.

Tetapi yang paling ditunggu ialah apakah dalam pertemuan dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO hari ini, ada yang berani bersoal jawab seperti mana mereka mengeluarkan kenyataan sebelum ini?

Kecuali Muhyiddin yang dipercayai masih di Italy dan Shafie sedang menunaikan umrah, adakah Zahid Hamidi, Hishammuddin, Khairy atau lain-lain pemimpin UMNO atau proksi mereka berani melontarkan soalan dan berhujah secara berdepan dengan Najib dalam perjumpaan nanti?

Jika semuanya diam, mereka ini juga sebenarnya bapa segala "keyboard warrior" yang hanya berani di media sosial dan alam maya, tetapi macam tikus yang takut kehilangan beras apabila di alam nyata.

Sama ada perjumpaan hari ini panas atau sebaliknya atau pemimpin UMNO  berani bersoal jawab dengan Najib atau tidak, yang pasti Tun Mahathir akan terus menyerang dan mengkritik kerana sokongan akar umbi jelas berpihak kepada apa yang diperkatakan oleh bekas Perdana Menter itu.

Ulangtahun UMNO kali ini lebih diingati sebagai detik pertembungan daripada menginsafi perjuangan. (SH 11/05/2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.