rokok  
Gambar hiasan

LUMUT - Rokok merupakan penyumbang cukai kedua terbesar negara pada tahun lepas iaitu sebanyak RM3.62 bilion, kata Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Hassan Ibrahim.

Beliau berkata jika kegiatan penyeludupan rokok tidak dibanteras, negara akan kehilangan hasil cukai yang banyak.

Katanya melalui Ops Outlet dari 2010 hingga 2014 di seluruh negara, sebanyak 8,668 kes tangkapan dan rampasan rokok putih dan keretek dilakukan membabitkan cukai bernilai RM81.96 juta.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 6,095 peniaga telah ditahan, 2,110 peniaga telah didakwa di mahkamah manakala sebanyak 5,774 masih dalam proses tindakan pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Pacak Rokok dan Arak Seludup 2015 peringkat negeri di sini hari ini. Ops Pacak merupakan kesinambungan Ops Outlet. 
"Ops Pacak ini untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup.

"Malah Ops Pacak versi baharu ini turut memberi tumpuan kepada barangan kritikal lain yang sering diseludup khususnya minuman keras," katanya.

Hassan berkata beberapa strategi baharu digunakan dalam operasi itu antaranya melakukan operasi secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan yang lain selain risikan yang dijalankan oleh pihak kastam. - Bernama