`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, July 10, 2015

Akaun Bank Najib Dan Rosmah Suatu Kebanggaan Baru Kita

Image result for Akaun Bank Najib Dan Rosmah

Dua hari lalu, para penyokong dan pentaksub Najib Razak nampak begitu gembira apabila Peguam Negara, Gani Patail menafikan ada akaun bank milik Perdana Menteri turut termasuk dalam enam akaun yang dibekukan oleh pasukan petugas khas pada 5 Julai lalu.

Seolah-olah dapat menyuci dan membebaskan Najib daripada segala dakwaan yang dibuat oleh The Wall Street Journal atau WSJ sebelum ini, penafian itu disambut baik, malah mereka yang menyebarkannya segera dianggap mempunyai niat jahat terhadap Perdana Menteri.

Belum pun lama bergembira, tiba-tiba mereka "tersedak"  apabila Gani muncul lagi semalam menjelaskan bahawa dua akaun bank milik Najib yang didedahkan oleh WSJ tidak tersenarai dalam pembekuan itu kerana ia sudah pun ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015 lalu.

Dengan penjelasan ini bermakna akaun bank milik Najib di Ambank yang didakwa oleh WSJ adalah destinasi terakhir pengaliran masuk wang berjumlah hampir RM2.6 bilion adalah benar-benar wujud.

Maka yang mahu ditunggu-tunggu daripada pasukan petugas khas selepas ini ialah apakah benar berlaku kemasukan wang sebagaimana yang didakwa oleh WSJ itu?

Menjadi penantian juga untuk diketahui ialah mengapakah akaun kepunyaan Najib itu ditutup? Adakah ia ditutup untuk mengelakkan agar tidak dapat dikesan lagi?

Adakah ia ditutup kerana wangnya telah dipindahkan ke akaun lain, dilaburkan, sudah habis dibelanjakan atau disimpan dalam bentuk tunai di mana-mana?

Walaupun Peguam Negara mengatakan beberapa dokumen berkaitan akaun bank yang ditutup itu sudah diambil oleh pasukan petugas khas, nampaknya  isu lebih menarik perhatian umum.

Dengan pengesahan Gani Patail bahawa akaun bank itu benar-benar, cuma sudah ditutup, persoalan mengapa Najib mengelak-ngelak daripada memberi jawapan tepat mengenai dakwaan kemasukan wang ke dalam akaunnya tentunya sudah pun ada dalam pemikiran setiap kita sedangkan ia hanya memerlukan sebutan antara "ya" atau "tidak" saja

Cumanya, harapan rakyat ialah pasukan petugas khas ini benar-benar jujur, amanah dan profesional dalam menjalankan tugas mereka. Walaupun secara amalannya, Peguam Negara dan SPRM melaporkan tugas mereka kepada Perdana Menteri manakala Gabenor Bank Negara kepada Menteri Kewangan dan kedua-dua jawatan itu disandang oleh Najib, moganya mereka tidak lupa bahawa pertanggungjawaban kepada rakyat dan Tuhan adalah segala-galanya dalam kes ini

Hanya Ketua Polis Negara terkecuali melaporkan tugasnya kepada Najib kerana ia berada di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dijaga oleh Ahmad Zahid Hamidi tetapi amarannya terhadap pembocor maklumat melebihi skandal yang sedang didedahkan, mula menimbulkan bibit-bibit kebimbangan di kalangan orangramai.

Lantaran itu, saranan yang mahukan Najib bercuti sementara pasukan petugas khas ini menjalankan tugasnya, bukanlah sesuatu yang tidak berasas sebenarnya.

Dengan bercuti atau dicutikan, pasukan petugas khas ini tentu saja lebih diyakini rakyat dan apa-apa keputusan mereka juga tidak akan diragui lagi berbanding jika Najib masih tercongok sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sedangkan beliau juga adalah suspek yang sedang dicurigai.

Selain pengesahan mengenai akaun itu, menjelang lewat petang semalam, penyokong dan pentaksub Najib terpukul lagi apabila Sarawak Report dalam pendedahan terbarunya melaporkan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun milik Rosmah Mansor berjumlah RM2 juta dalam tempoh 10 Februari hingga 23 April 2015.

Pendedahan yang cukup lengkap dengan nombor akaun bank yang dikatakan milik Rosmah, jumlah wang, tarikh wang dimasukkan dan siapa yang menguruskan kemasukan wang itu,  pastinya sukar dinafikan dan menambahgoyangkan lagi kedudukan Najib.

Belum pun Najib mampu menjawab  dakwaan berkaitan wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan minggu lalu tersebar video rakaman bagaimana Rosmah dilayan umpama "Cinderella" dengan dipakaikan kasut oleh pembantunya,  kini isterinya itu sekali lagi mendatangkan beban baru yang bakal menjadi perbualan umum.

Sebagai isteri yang selalu digambarkan oleh pembantunya bahawa Rosmah hanyalah seorang suri rumah saja, rakyat kini ghairah ingin tahu daripada manakah datangnya wang sebanyak RM2 juta yang boleh didepositkan ke dalam akaun peribadinya dalam  tempoh tidak sampai tiga bulan itu?

Adakah Rosmah akan mengatakan ia tabungan lama atau pemberian tanda kasih sayang daripada suami tercinta?

Jika pemberian daripada Najib, daripada mana dan bagaimanakah pula wang itu diperolehi?

Atau apakah ia datang daripada sumber-sumber lain yang hanya Rosmah saja tahu mengenainya?

Adakah sehari dua nanti Rosmah juga akan memberi jawapan yang cuba mencairkan hati rakyat seperti, "saya tak ambil wang negara atau Permata untuk kepentingan peribadi" atau "kalau ia wang curi, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi?"

Walaupun kita sebagai rakyat merasakan ini satu lagi bahana untuk negara, Najib dan Rosmah sekurang-kurangnya sedang berdepan masalah yang sama dan ini membolehkan keduanya saling berpakat, bekerjasama dan bahu membahu antara satu sama lain menyelesaikan apa yang sedang dihadapi.

Dalam sejarah negara, belum pernah ada Perdana Menteri dan isteri yang "sama-sama naik" seperti ini dan ia barangkali suatu "kebanggaan baru" setelah bertahun-tahun kita hanya berbangga dengan KLCC dan  Putrajaya saja. ( SH )

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.