`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, July 26, 2015

Mesej Zahra bahaya, boleh cetus sentimen perkauman, kata penganalisis

Penganalisis berpandangan graduan Siti Azzahra Abd Razly atau lebih dikenali sebagai Zahra tidak seharusnya menggunakan platform kaum bagi menyampaikan permasalahannya kerana apa yang dialaminya turut dialami graduan dari kaum lain. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Julai, 2015.Penganalisis berpandangan graduan Siti Azzahra Abd Razly atau lebih dikenali sebagai Zahra tidak seharusnya menggunakan platform kaum bagi menyampaikan permasalahannya kerana apa yang dialaminya turut dialami graduan dari kaum lain. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Julai, 2015.
Penganalisis berpandangan graduan Siti Azzahra Abd Razly atau lebih dikenali sebagai Zahra tidak hanya membawa kisah sukar mahasiswa selepas tamat pengajian di universiti malah apa yang lebih membahayakan senario itu cuba dilihat dari aspek perkauman.
Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi Wan Saiful Wan Jan berkata, Zahra tidak seharusnya menggunakan platform kaum bagi menyampaikan permasalahannya kerana apa yang dialami Zahra turut dialami graduan dari kaum lain.
“Isu yang ditimbulkan adalah bagus tetapi saya juga bimbang amat mudah isu kesusahan rakyat ini dieksploitasi menjadi isu perkauman. Sedangkan ia tak patut jadi isu perkauman kerana semua orang menghadapi masalah sama.
“Itu mesej yang lebih positif dan tidak mengundang polemik perkauman,” katanya kepada The Malaysian Insider. 
Wan Saiful berkata biarpun Zahra menceritakan kebenaran apa yang dialaminya namun ia tidak seharusnya disulamkan dengan motif perkauman kerana khalayak akan memberikan respon sama kepada gadis itu.
Katanya, ucapan Zahra di hadapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pastinya bukan 100% lahir daripada lubuk hatinya tetapi sudah ditapis pihak tertentu yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.
“Saya tak rasa dia tulis ucapan dan baca tanpa ada siapa yang menasihati apa yang perlu diketengahkan. Orang yang menasihatkan ini mungkin ada agenda lain yang wujud di sebalik nasihat yang dia beri.
“Perkara yang disampaikan ialah kerajaan kena tolong orang Melayu, bukan kerajaan kena tolong orang yang memerlukan pertolongan. Itu yang saya bimbang.
“Ini bahayanya apabila kesukaran hidup yang melanda golongan muda diulas dalam konteks menyentuh kaum maka respon yang diberi ialah bentuk perkauman juga,” katanya.
Beliau berkata tiada salahnya Zahra untuk bercita-cita besar hidup mewah di ibu kota kerana itu memang menjadi impian setiap insan. 
Katanya, Zahra perlu melihat dalam kerangka yang lebih luas dan tidak hanya membawa keperitan kaum tertentu yang mengundang rasa kurang senang kaum lain.
“Ada pihak yang cuba mengambil kesempatan kesusahan hidup ramai rakyat Malaysia sekarang untuk dipergunakan faedah perkauman.
“Ini dipergunakan kedua-dua belah pihak. Mereka yang beri platform kepada Zahra dan mereka yang mengkritik Zahra. Kedua-dua ini menggunakan intonasi berbentuk perkauman.
“Yang lebih betul ialah semua graduan menghadapi masalah yang hampir sama dengan Zahra sama ada India, Cina, Iban atau Melayu,” katanya.
Ahli ekonomi terkemuka dari Universiti Malaya Tan Sri Kamal Salih pula melihat Zahra terlalu bercita-cita tinggi untuk hidup senang di ibu kota Kuala Lumpur.
Katanya, walaupun Zahra membangkitkan realiti graduan pada hari ini namun gadis kelahiran Pulau Pinang itu seharusnya tampil dengan alternatif sendiri dan bukannya mencanangkan kepada umum.
“Dia perlu rendahkan jangkaannya. Pada masa sama kurang bergantung dan berdikari. Mungkin berbincang bagaimana menjana ekonomi di kalangan mereka.
“Dia perlu mencipta peluang dan memenuhi kelayakan yang perlu dalam peluang itu.
“Saya boleh faham tetapi kos kehidupan di Kuala Lumpur tinggi dan wujud tekanan di antara kawan-kawan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kamal berkata Zahra seharusnya bersyukur masih memiliki pekerjaan kerana lebih ramai graduan yang berdepan situasi lebih sukar daripadanya.
Katanya, apa yang cuba disampaikan Zahra itu sebenarnya adalah satu tamparan kepada pihak kerajaan agar tidak terus mengabaikan kebajikan rakyat. 
“Sekurang-kurangnya dia memiliki pekerjaan tetapi pengharapannya terlalu tinggi. Itu sebahagian dari generasi muda.
“Mesejnya kepada pemimpin agar menjadi kreatif, jujur dan menjaga kebajikan rakyat daripada berdasarkan masa depan materialistik yang tidak mapan.
“Nasihat saya berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan. Anda adalah diri anda sendiri,” katanya.
Penganalisis ekonomi Prof Dr Hoo Ke Ping pula berpandangan Zahra cuba menyalahkan kerajaan dan menggambarkan situasi yang tidak tepat berdasarkan apa yang dihadapinya.
Katanya, kesukaran Zahra itu hanyalah berkaitan dengan dirinya sendiri dan ia boleh diatasi dengan menukar cara hidup yang lebih sederhana.
“Itu tidak betul. Kalau graduan, kurang-kurang RM2,000. Bagi satu keluarga di Kuala Lumpur pun boleh cukup. Kalau tak cukup, memang kehidupannya ada masalah. Ramai orang RM1 juta setahun tak cukup.
“Ada yang di Pulau Pinang, pendapatan RM35,000 sebulan pun tak cukup kerana ada BMW dan banglo nak bayar. Kalau RM2,000 tak cukup, masalah dia. Bukan masalah sistem gaji di Malaysia tetapi masalah peribadi,” katanya.
Hoo berkata lebih ramai rakyat Malaysia yang berada di bawah paras kemiskinan namun apa yang dilakukan mereka adalah ‘ukur baju di badan sendiri’.
Katanya, ucapan Zahra itu tidak lain sekadar mahu jadi terkenal dan dikenali dengan membawa isu yang dekat di mata rakyat.
“Sekarang 80% keluarga Malaysia pendapatannya kurang daripada RM4,000. Maksudnya 80% tak cukup makan?
“Dia cuma nak satu bayangan kerajaan salah. Ini anti establishment. Orang mahu jadi terkenal, senang. Orang muda sekarang suka buat macam ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.