`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 26, 2015

Tidak Ada Apa-apa Yang Boleh Halang Wakil Rakyat PAS Sertai Harapan Baru...

Wakil rakyat PAS Selangor sertai GHB, enggan letak jawatan 

Wakil rakyat PAS di Selangor yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) menolak desakan beberapa pemimpin PAS yang menggesa supaya meletakkan jawatan atas alasan undi yang diperoleh mereka berdasarkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) walaupun bertanding atas tiket parti Islam itu. 

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tidak ada sebab beliau berbuat demikian kerana dirinya masih ahli PAS yang sah dan GHB bukan satu entiti parti politik.

Katanya, undi majoriti 29,000 yang diperoleh adalah berdasarkan rakyat yang memilih PR dan bukan hanya terhad daripada ahli PAS sahaja, malah menganggapnya satu pembaziran berjuta ringgit jika memaksa diadakan semula pilihan raya.

"Saya masih ahli PAS. Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kerana saya dipilih oleh rakyat. Yang undi saya bukan ahli PAS sahaja.

"Jadi, saya masih berkhidmat untuk rakyat dan akan teruskan khidmat saya,"
 katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu mencabar ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor yang lain meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana mereka juga menang disebabkan tiket PR.

Katanya, PAS bukan lagi sebahagian kerajaan PR di Selangor selepas pendirian rasmi Dewan Ulama PAS Pusat membatalkan hubungan dengan DAP pada 11 Julai lalu. 


"Adun PAS perlu letak jawatan sebab mereka menang atas sokongan PR bukan hanya undi PAS. Kena faham situasi di Selangor tak sama macam di Kelantan," katanya.

Ditanya kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din mengenai wakil rakyat yang menyertai GHB diharamkan menikmati gaji dan elaun, Dr Mariah menegaskan wang itu bukan untuk tujuan peribadi tetapi untuk rakyat.

"Selama ini saya bukan goyang kaki dan saya dibayar oleh kerajaan untuk rakyat, bukan untuk PAS atau hanya untuk isu PAS sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, desakan supaya meletakkan jawatan kerana menyertai GHB itu tidak logik kerana bukan undi ahli PAS sahaja yang membawa kemenangan semasa pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, PAS Pusat perlu bermesyuarat, keluarkan satu kenyataan rasmi dan menghantar surat rasmi kepada mereka yang terlibat bagi melenyapkan kekeliruan pandangan peribadi yang berbeza mengenai status mereka.

"Ada yang kata belum langgar peraturan, ada yang kata sudah langgar.

"Sepatutnya pendirian datang bukan melalui media tetapi melalui surat mengenai pendirian rasmi yang diputuskan PAS Pusat selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak," katanya yang masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Seperti Dr Siti Mariah, beliau juga menganggap kenyataan Haron sebagai satu pandangan peribadi.

"Itu pandangan dia, kita pun ada hujah sendiri," katanya yang menjangkakan PAS Pusat bermesyuarat pada 8 Ogos ini.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman semalam dilaporkan berkata, Adun dan ahli Parlimen PAS yang berhasrat menyertai GHB perlu mengosongkan kerusi mereka kerana ia ditandingi dan dimenangi atas tiket PAS.

"Mengapa terlalu lama untuk isytiharkan diri keluar PAS? Kenapa perlu berselindung?" soalnya dalam satu kenyataan, mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga wakil rakyat Selangor dikatakan menjadi sebahagian daripada GHB.

Selain Dr Siti Mariah, 2 lagi adalah Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Klang Saari Sungib, kedua-duanya sebelum ini digantung keahlian kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.-TMI


Tak perlu letak jawatan jika sertai Harapan Baru

SHAH ALAM - [KEMASKINI] Gerakan Harapan Baru mempertahankan mana-mana wakil rakyat Pas yang mahu menyertai NGO itu agar tidak perlu meletakkan jawatan.

Setiausahanya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana kemenangan mereka bukan hanya bersandarkan kepada tiket Pas semata-mata.

“Sebagai contoh, di kawasan itu ada 5,000 ahli Pas tetapi mereka menang dengan 9,000 undi. Ini bermakna yang menyokong mereka bukan sekadar ahli Pas, tetapi rakyat.


“Kita juga tidak tahu apa sebab sebenarnya mereka menyokong wakil rakyat itu. Ada calon diangkat sebab nama mereka sendiri, sebab parti dan lain-lain, jadi ada banyak faktor kemenangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.‎

Sebelum ini, terdapat banyak desakan daripada Pas agar Adun dan ahli parlimennya yang mahu menyertai Harapan Baru supaya meletakkan jawatan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata, mereka perlu meletakkan jawatan bagi mengelakkan pendapatan syubhah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, peletakan jawatan perlu dilakukan segera bagi menghormati mandat diberikan pengundi di kawasan berkenaan.

Antara wakil rakyat yang sudah mengesahkan akan keluar Pas dan menyertai Harapan Baru setelah didaftarkan sebagai parti ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Menurut Hasnul, beliau dimaklumkan terdapat lebih ramai Adun dan ahli Parlimen akan menyertai Harapan Baru.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, tiada undang-undang yang mengatakan individu yang dipecat atau keluar parti perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.


“Sebagai contoh, Tan Sri Khalid Ibrahim masih kekal sebagai wakil rakyat walaupun dilucutkan keahlian sebagai ahli PKR. Jadi tiada sebab untuk mereka letak jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuan utama penubuhan Harapan Baru ialah untuk memperjuangkan pendekatan Islam yang inklusif dan membawa rahmat kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Apabila Pas kata tidak boleh bekerjasama dengan DAP dan terkuburnya PR, ini merupakan satu situasi yang mencemaskan umum. Ia bukan saja menjejaskan persepsi terhadap Pas tetapi Islam juga.

“Sekarang saya lebih khuatir kerana kita menyaksikan Pas hampir kembali kepada trend asalnya yang sangat keras,” katanya.

Beliau mendakwa, pendekatan inklusif gagal dilakukan oleh Pas dan hanya menjejaskan sokongan kepada parti itu, termasuklah ketika isu kalimah ALLAH dan hudud sedang hangat diperkatakan.

“Kami rasa pimpinan sedia ada tidak dapat teruskan unjuran ke situ. Jadi kami terpanggil untuk bawa satu wadah bagi membangunkan pendekatan Islam inklusif iaitu bukan untuk orang Islam saja.

“Daripada kajian, sokongan bukan Islam kepada parti lama kami sudah kurang daripada 10 peratus walaupun suatu ketika dulu pernah mencecah 70 hingga 80 peratus.

“Menang angka bukan segala-galanya tapi jangan kita lupa itulah kayu ukur sokongan pengundi dan rakyat kepada kita,” katanya. 
-SH



Tak perlu kosong kerusi untuk sertai Harapan Baru

SHAH ALAM - Seorang Adun Selangor hari ini menegaskan bahawa Adun daripada Pas yang menyertai Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru), tidak perlu mengosongkan kerusi Dun.

Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkata, tindakan menyertai Harapan Baru itu melibatkan soal prinsip dan ia bukanlah satu kesalahan.

"Tak ada isu (berpindah parti). Lompat parti sebab tertentu seperti sogokan... itu dari segi moral jelas menyalahi moral dari segi politik.

"Tapi ini pindah parti sebab prinsip tertentu Pas yang tidak dapat dielakkan dan ia tidak menjadi kesalahan mengikut enakmen,"
katanya ketika dihubungi Bernama.

Hasnul mengulas kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman semalam bahawa Adun dan Ahli Parlimen Pas yang berhasrat meninggalkan parti bagi menyertai Harapan Baru perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi terlebih dahulu.

Mohd Khairuddin berkata, ia kerana kerusi berkenaan ditandingi dan dimenangi atas tiket Pas.

Selain Hasnul, dua lagi wakil rakyat Pas Selangor yang dilapor menyertai parti baharu Harapan Baru adalah Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu minggu lepas mengumumkan penubuhan Harapan Baru yang terdiri daripada pemimpin kanan Pas yang gagal dalam pemilihan parti bulan lepas.

Harapan Baru yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti Pas dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat selepas DAP dan Pas memutuskan hubungan.

Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.

Dalam pada itu, Hasnul berkata, sokongan pengundi yang diterima Pas sebelum ini bukan disebabkan oleh dasar parti berkenaan tetapi menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Beliau berpendapat Pas tidak sepatutnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sedangkan gabungan bersama dalam pakatan pembangkang yang menjadikan Pakatan Rakyat mampu menawan Selangor. 
- Bernama


ULASAN GB

Desakan dan ugutan supaya wakil rakyat yang menyertai Harapan Baru supaya meletakkan jawatan tidak perlu dilayan.

Dari sudut apa sekalipun dipandang, tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka sehingga memerlukan mereka untuk meletakkan jawatan.

Dari sudut undang-undang, meskipun pada bulan April 1991, Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bahawa jika mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri yang merupakan ahli kepada sesebuah parti politik, keluar atau disingkirkan daripada parti politik itu, kerusinya hendaklah dikosongkan, namun undang-undang itu telah dicabar di Mahkamah.

Dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin bin Salleh & Seorang lagi [1992], Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan sebagai tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. 

Hak ini juga merujuk kepada hak untuk keluar dari persatuan. Mahkamah juga berpendapat bahawa undang-undang ini ‘ultra vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan sahaja berkuasa untuk menggubal undang-undang sebegini.

Seterusnya, Mahkamah Agung berpendapat bahawa undang-undang ini tidak boleh digubal menggunakan alasan moraliti kerana perkataan ‘moraliti’ dalam Artikel 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada moraliti seksual sahaja.

Justeru itu mereka yang mendesak supaya wakil rakyat PAS meletakkan jawatan ternyata mereka yang buta undang-undang dan tidak faham apakah yang dimaksudkan "moral" yang ditekankan oleh mereka selama ini.

Malah jika dari sudut moral sekalipun, wakil rakyat PAS yang menyertai Harapan Baru tidak perlu meletakkan jawatan kerana tindakan mereka menyertai Harapan Baru itu lebih tinggi moralnya dari wakil-wakil rakyat yang masih berada di dalam PAS.

Ini kerana rakyat mengundi mereka bukan kerana mereka PAS semata-mata tetapi adalah kerana pada pilihanraya rakyat mengundi di atas dasar Pakatan Rakyat, bukan semata-mata kerana mereka bertanding di atas PAS.


Tentang baiah ia telah telah kita elas sebelum ini. Baiah itu telah terbatal sebaik saja PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan rakan komponen Pakatan Rakyat. Ini kerana yang terpilih sebagai wakil rakyat itu adalah ketika mana PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Apabila "kondisi" itu sudah berubah, maka dengan sendirinya baiah itu sudah tidak dapat dikuatkuasakan. Langkah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP adalah kesilapan PAS yang paling besar.

Begitu juga dengan baiah talak yang telah pun diperbincangkan oleh para ugamawan dengan panjang lebar. Ia telah dinyatakan dengan jelas oleh Mufti Pulau Pinang bahawa:

Talaq tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh sisuami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.

Justeru itu beliau menyatakan sumpah taklik talak isteri wakil-wakil rakyat PAS (jika ada) adalah tidak sah.

Setiausaha Majlis Syura Ulama di dalam kenyataannya menyatakan, ba’iah talak tiga tiada dalam bai’ah yang diluluskan oleh parti dan Majlis Syura.

Dan oleh kerana baiah sedemikian tidak diluluskan oleh Majlis Syura, maka baiah talak itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dikuatkuasakan. Kerana Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi parti dan setiap keputusannya adalah muktamad.

Oleh itu jelas kini bahawa tiada ada apa-apa yang boleh menghalang wakil-wakil rakyat PAS untuk menyertai Harapan Baru. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.