`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 23, 2015

Selamatkan Malaysia: Jom Ke BERSIH 4.0


Turun Bersih, tiada jalan lain kecuali jalan raya – Iqkram Ismail 

Pada 29 Ogos 2015 dan 30 Ogos 2015 ini, himpunan untuk menyuarakan tuntutan rakyat Malaysia akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur anjuran Gabungan Menuntut Pilihan Raya Yang Adil Dan Bersih (Bersih 2.0). 

Dengan 5 tuntutan Bersih 2.0 yang diajukan kepada kerajaan Malaysia yang memerintah pada hari ini, iaitu:

1) Bersihkan pilihan raya,
2) Kerajaan bersih,
3) Hak membantah,

4) Kukuhkan demokrasi Parlimen dan

5) Selamatkan ekonomi Malaysia

Bersih 2.0 buat pertama kalinya akan mengadakan himpunan di luar tempoh waktu kebiasaan himpunan yang lazimnya bermula pada tengah hari dan bubar pada jam petang hari yang sama seperti edisi himpunan Bersih sebelumnya.

Kali ini, himpunan Bersih yang bakal memasuki edisi ke empat (Bersih 4.0) akan mengadakan himpunan bermula dari siang 29 Ogos 2015 (Sabtu) dan peserta himpunan dijangka akan bermalam atau Occupy di Dataran Merdeka atau di mana-mana tempat yang berhampiran pada Sabtu malam Ahad tersebut dan himpunan ini akan berterusan hingga ke siang hari berikutnya iaitu pada 30 Ogos 2015 (Ahad).

Dengan melihat iklim politik, ekonomi dan sosial semasa negara ketika ini, tidak dapat tidak, sekurang-kurangnya satu juta rakyat Malaysia wajib turun ke himpunan Bersih kali ini untuk menyuarakan 5 tuntutan asas himpunan ini bagi memBersihkan segala kebobrokan yang sedang berlaku dalam suasana politik, ekonomi dan sosial negara Malaysia yang tercinta ketika ini.

Dengan mengambil semangat bulan kemerdekaan di bulan Ogos ini, rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan serba-serbi azab masalah meliputi segala hal, lebih-lebih lagi bila melibatkan hal ekonomi demostik ketika ini haruslah dengan penuh rasa patrotik, sayangkan tanah air, mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama dengan tuntutan Bersih bagi menyelamatkan negara ini yang saban hari semakin tenat berdepan krisis demi krisis yang tiada berkesudahan, terutamanya krisis yang dicetuskan dari kegagalan pemerintahan dari kerajaan yang sedia ada pada hari ini.

Tiada asas untuk rakyat Malaysia berkata tidak pada himpunan Bersih kali ini dengan segala bibit-bibit kerosakan dan kemusnahan yang terjadi pada negara Malaysia pada hari ini. Kendatipun ada yang beralasan, himpunan Bersih ini adalah "haram" bersandarkan pada fatwa agamawan tertentu atau "haram" pada larangan pihak-pihak berkuasa tertentu di negara ini, segala jenis bentuk pengucapan haram ini adalah dikeluarkan daripada mulut yang menjadi alat (apparat) kepada parti pemerintah semata-mata.

Setiap apa yang dizahirkan aparat-aparat pemerintah dalam menentang kehendak-kehendak rakyat kemudiannya hanya akan menjadikan sosok-sosok aparat ini kelihatan seperti badut sahaja di mata rakyat. Hak untuk berkumpul dijamin dalam perlembagaan negara ini seperti yang tercatat dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan “semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata", dan bolehlah dikatakan kemerdekaan yang diraih negara kita pada 1957 itu disumbangkan juga himpunan beramai-ramai rakyat Tanah Melayu ketika peristiwa menentang perjanjian Malayan Union pada 1946 dahulu.

Justeru itu, seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kebetulan pula dengan mengambilkira semangat patriotik di bulan Ogos ini, tanpa kira bangsa, agama, ras, kelas, dan apa ideologi politik yang dianuti sekalipun wajiblah bersatu padu untuk sama-sama menyuarakan hak rakyat di himpunan Bersih 4.0 pada 29 Ogos 2015 hingga 30 Ogos 2015 ini nanti.

Kerana kini, kita rakyat Malaysia sudah tiada pilihan lain kecuali pilihan "Turun Bersih, dan tiada jalan lain kecuali jalan raya".


Kita bertemu di Dataran Oleh Rahmat Haron

Adakah benar tuduhan, datang hadir menunjuk perasaan ke perhimpunan Bersih 4 menjadikan kita orang yang mementingkan diri sendiri (selfish)?

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, sudahpun membalas dakwaan tersebut dengan penegasan perhimpunan itu bertujuan untuk mendesak penambahbaikan ke arah sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya yang lebih adil, menghapuskan amalan rasuah serta tuntutan menyelamatkan ekonomi negara.

Mementingkan diri sendiri dapat membawa maksud, menyintai orang lain itu suatu kebaikan, manakala menyayangi diri sendiri itu pula suatu kejahatan.

Ianya suatu pengertian yang dicipta penguasa dalam doktrin kekuasaan negara yang terpusat (autoritarianisme) sebagai perkakas kawalan untuk menekan kespontanan, kesemulajadian dan pertumbuhan diri seseorang individu.

Slogan selfish autoritarianisme menuntut pengorbanan, penyerahan diri individu semutlaknya (ke tahap tertentu secara membuta-tuli kepada kekuasaan negara).

Dengan episod pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, perkembangan politik di Malaysia masa kini tambah menarik, tetapi cukup berbahaya dan boleh mendarurat.

Awalnya, saya melihat ia hanyalah pengulangan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim, hampir dua dekad yang lalu. Tetapi sebagaimana yang disebut ramai penganalisa politik, ketika itu, saudara Anwar bukan sahaja dipecat daripada jawatan dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri malah jawatannya sebagai timbalan presiden parti Umno juga.

Namun demikian, Muhyiddin mendapat sokongan jitu ‘bangsa Johor’. Selepas Muhyiddin dipecat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Mahmud Iskandar memanggil Muhyiddin menghadap ke istana. Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden Umno.

Kita dapat memerhatikan arus kemarahan rakyat terhadap dasar-dasar pemerintahan, skandal-skandal rasuah, pecah amanah serta penyelewengan kuasa semakin membesar menjadi gelora ombak dan gelombang.

Ungkapan-ungkapan ketidakpuasan hati rakyat dapat dikesan berlambakan beredar dalam kitaran maklumat media sosial dan Internet.

Tinjauan terbaru menunjukkan pengguna Internet tidak percaya kepada perdana menteri dan kerajaan. Tidak ada lagi yang dapat disembunyikan daripada skandal kewangan 1MDB.

Daripada laporan media berwibawa seperti Wall Street Journal, Sarawak Report, The Edge, desakan mantan Perdana Menteri, ulasan putera raja, keluhan golongan bangsawan dan korporat, kicauan artis-artis selebriti arus perdana seperti Siti Nurhaliza dan Amy Search, sehinggalah kepada pendedahan yang dibuat tokoh-tokoh utama pembangkang serta tuntutan masyarakat madani sejak dahulu lagi.

Dalam konteks kepentingan diri (self interest) suatu jalinan kesepaduan rakyat Malaysia telahpun tumbuh atas bantuan isu skandal kewangan syarikat 1MDB. Misalnya campur tangan pentadbiran Najib terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun dalam pasukan polis dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat menyiasat 1MDB telah menghasilkan solidariti rakyat terhadap institusi-institusi penting kerajaan ini.

Najib tidak akan semudahnya melepaskan jawatannya. Tidak dalam masa yang terdekat ini. Terlalu banyak kepentingan diri yang terpaksa dilucutkan. Pemecatan Muhyiddin daripada pentadbiran kerajaan menunjukkan kedegilan atau barangkali menurut kehendak hati Rosmah Mansor, inilah keteguhan semangat juang anak Bugis.

Tetapi bagaimana kita mengukur sokongan pihak yang mahukan Najib Razak melepaskan jawatan dan skandal 1MDB disiasat seadil-adilnya? Adakah cukup dengan melihat sebanyak mana komen-komen dan kritikan yang dibuat?

Di sinilah BERSIH 4 amat mustahak sebagai referendum rakyat.

Aturan kekuasaan warisan kolonial yang dibangunkan Umno selama lebih separuh abad kemerdekaan negara ini (58 tahun) menjadikan kedudukan jawatan presiden Umno dan perdana menteri sebagai pusat kuasa pada martabat teratas darjat yang paling tinggi di Malaysia. Pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun memperkuat akar autoritarianisme tersebut, sehinggakan dirujuk sebagai Mahathirisme.

Namun, meski dilihat sinis Dr. Mahathir kini mula berikhtiar memadamkan satu demi satu struktur autoritarianisme yang memakai namanya itu. Apa yang diperlihatkan beliau sekarang, barangkali hanyalah taktik politik semata-mata.

Jikalau di zaman pemerintahannya, sering diungkapkan demonstrasi bukan budaya kita, kini pendirian itu telah bertukar.

Jikalau di zaman pentadbiran Dr Mahathir, tiada kebebasan bersuara dan media asing dituduh cemburu, kini suara beliau dipetik dengan nada positif dalam laporan-laporan media utama antarabangsa dan media alternatif dalam negeri.

Sekali air bah, sekali pasir berubah. Kita mengalu-alukan perubahan ke arah keadaan yang lebih baik, untuk diri sendiri, keluarga, tetangga, masyarakat, negara dan untuk kesejagatan hak-hak semua manusia. Kita tidak lupa masa lalu, tetapi kita memandang ke hadapan dengan berlapang dada.

Malangnya terdapat segelintir kumpulan anak muda yang sudah berubah arah, menentang perhimpunan Bersih. Apapun motivasi mereka, raikanlah demokrasi. Kata bidalan lama, patah tumbuh, hilang berganti.

Inilah reformasi, tidak sempurna. Pada sudut tertentu masih banyak sisi-sisi gelapnya dan perlu waktu serta usaha berterusan untuk dicerahkan. Ia mengajak kita bergerak ke arah kesempurnaan, meski ia hanyalah harapan.

Tetapi harapan itulah yang menghidupkan kita untuk masih bernafas di bumi ini. Apatah lagi di kala nilai tukaran ringgit berbanding wang asing semakin jatuh merudum. Saat menulis artikel ini, ringgit telah melepasi tahap RM4 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat.

Pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu baru-baru ini memberikan amarannya, “negara kita ini sudah berada dalam keadaan paling ‘darurat’. Darurat ekonomi, darurat rasuah, darurat penyalahgunaan kuasa, darurat penyelewengan ini perlu dihentikan.”

Bekas tahanan ISA yang mesra dipanggil Abang Mat itu juga turut menyeru,“rakyat perlu bersatu untuk perbetulkan keadaan ini melalui protes himpunan bantah secara aman terhadap pemerintahan Najib.”

Kembali kepada persoalan mementingkan diri sendiri (selfish). Menurut kupasan ahli falsafah Erich Fromm, “menjadi orang yang selfish bermakna dia hanya berminat kepada dirinya sendiri, mahukan segalanya untuk dirinya, tidak mendapat nikmat memberi tetapi hanya mengambil.

Sudut pandangannya terhadap dunia luar cuma melihat apa yang dapat diperolehinya; dia tidak berminat dalam keperluan-keperluan orang lain, serta turut tidak menghormati integriti dan maruah orang lain.”

Tuntutan-tuntutan BERSIH, GHB, pembangkang dan masyarakat madani lainnya memperlihatkan sikap self love (cinta diri); makna kata keupayaan mereka menyintai diri sendiri secara produktif itulah yang memberdayakan mereka menyintai kekasihnya, mengasihi sesama manusia, menyayangi penghidupan tanah air dan alam semesta.

Demi Cinta, keranamu Malaysia, kita jumpa 29-30 Ogos ini, di Dataran Merdeka.








ARiF merupakan jentera utama Harapan Baru di dalam membantu kelancaran gerakerja semua peringkat.

Kami ARiF Melaka memerlukan sumbangan dan bantuan kewangan daripada tuanpuan untuk kami melakukan gerakerja berkenaan. Oleh kerana kami masih baru, sumbangan diperlukan untuk menampung kos pakaian, membeli peralatan komunikasi, peralatan lalulintas dan sebagainya.

Kami amat berbebsar hati jika tuan/puan dapat menghulurkan sumangan kepada kami. Segala sumbangan diserahkan kepada pemegang amanah ARiF Melaka.

MOHD AZWAN AHMAD
a/k Maybank : 104013154427

Hantarkan makluman bank-in melalui SMS/WA ke 016-981 1315 (H.ANUAR)

Semuga Allah membalas segala jasa baik tuan/puan semua.
-greenboc.blog

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.