`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 8, 2016

RM2,600 JUTA MAKIN HAMPIR KAITANNYA DENGAN 1MDB, SEDIAKAH NAJIB BERLAKU JUJUR?

Siapa pun yang mengikuti perjalanan dan episod pusing memusing kenyataan berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib, pasti dapat merasakan semuanya kini seperti sedang menuju ke lubuk 1MDB akhirnya.

Walaupun Najib sejak daripada awal berkali-kali menafikan wang tersebut berpunca daripada 1MDB dan kononnya tidak pernah menggunakannya untuk kepentingan peribadi, rakyat yang waras tetap mempunyai kepercayaan sebaliknya.

Najib berulangkali mempertahankan wang itu adalah derma yang diberikan kepadanya dan atas kehendak penderma jugalah ia dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Tetapi, bak kata Tun Mahathir Mohamad, bukan saja mustahil ada orang Arab begitu pemurah, malah "orang Arab gila pun tidak mungkin menderma sebanyak itu secara percuma."
Menjadi kebiasaan dalam dunia ini bahawa orang akan menjadi semakin berkira apabila bertambah kaya. Apabila seseorang ada RM10, dia tidak ada masalah untuk memberi separuh daripadanya kepada rakan atau orang lain yang dalam kesempitan.

Tetapi apabila orang yang sama ada RM1 juta, terbalik dunia pun tidak mungkin mahu diserahkannya separuh daripada itu kepada sesiapa secara percuma. Paling banyak sedia diderma mungkin sekitar RM5 ribu atau RM10 ribu saja.

Untuk itu, jika seseorang boleh memberi derma percuma sebanyak RM2,600 juta, berapa banyak wang yang ada dalam simpanannya?

Sebab itu, sekali lagi, tidak ada manusia yang waras atau sesiapa pun yang dalam kehidupannya masih boleh membezakan antara hitam dengan kelabu, mahu memberi wang berbilion-bilion ringgit secara percuma kepada orang lain tanpa ada kepentingan.

Dalam episod wang yang diterima Najib, bukan saja nama pendermanya sentiasa dirahsiakan, malah tujuan ia didermakan juga berbeza-beza serta berbagai tujuannya seolah-olah mengikut suasana dan keadaan.

Sekejap dikatakan untuk menang pilihanraya, mengalahkah DAP, memerangi keganasan, mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, melawan ISIS dan akhirnya menentang Ikhwanul Muslimin pula.

Namun demikian, asakan berterusan membuatkan nama penderma seperti sudah boleh dijangka dan diramalkan oleh ramai orang. Peguam Negara, Apandi Ali, dalam kesungguhannya mempertahankan Perdana Menteri, mengatakan sebahagian besar wang itu sudah dikembalikan oleh Najib kepada keluarga Diraja Arab Saudi kerana tidak digunakan.

Ia kemudian menyebabkan tekaan mencari nama dan siapa penderma serta kerabat-kerabat Diraja Arab Saudi yang kaya terus berleluasa sehingga akhirnya nama Raja Abdullah yang mangkat pada Januari 2015 segera dikaitkan.

Jika selama ini ramai yang begitu hairan bagaimana ada orang terlalu pemurah boleh menderma berbilion-bilion secara ikhlas tanpa meminta balasan, kehairanan tambah mencecah awan kerana rupa-rupanya ada lagi manusia yang "begitu hebat"  dengan memulangkan sebahagian besar wang derma semata-mata kerana tidak digunapakai.

Seluruh dunia lantas ketawa dan ada pula menganggapnya lawak jenaka paling hebat "made ini Malaysia" untuk hiburan seantero cakrawala.

Kemudian muncul pula Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir yang lebih percaya wang RM2,600 juta itu adalah suatu bentuk pelaburan dan bukannya derma.

Sementara Najib masih mengunci mulut dan membisu seribu bahasa, Peguam Negara akhirnya sekali lagi membuat pendedahan bahawa salah seorang anak lelaki Raja Abdullah adalah individu yang dicari-cari itu.

Meskipun enggan menyebut namanya, kaitannya segera tertumpu kepada Putera Turki Abdullah Al Saud, salah seorang anak lelaki Raja Abdullah yang diketahui memiliki PetroSaudi dan mempunyai usahasama perniagaan dengan 1MDB.

Peguam Negara juga menyebut, motif di sebalik derma itu tidak penting kerana ia tidak salah di bawah undang-undang negara.

"Ini adalah wang dia dan urusan peribadinya. Kami tidak mempunyai undang-undang untuk menyatakan bahawa menerima sumbangan politik adalah haram. 

"Dia ada berbilion-bilion, jika dia mahu menderma, apa masalahnya?" soal Apandi lagi.
Laporan-laporan media antarabangsa memang ada menyenaraikan Raja Abdullah antara pemerintah yang terkaya di dunia dengan pemilikan kekayaan kira-kira AS$19 bilion, tetapi tidak pernah disebut mengenai harta dan kesuksesan anak-anaknya.

Apatah lagi ketika wang itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013, Raja Abdullah masih lagi hidup dan anak-anaknya seramai 18 orang itu, termasuk Putera Turki,  belum lagi difaraidkan kekayaan sebanyak AS$19 bilion itu.

Jika ada anaknya yang begitu kaya sehingga boleh menderma sebanyak RM2,600 juta atau AS$681 juta, berapa kekayaannya?

Katalah Putera Turki yang syarikatnya PetroSaudi mempunyai urusniaga dengan 1MDB dinilai paling logik sebagai penderma kepada Najib itu, apakah wang yang diberikannya itu benar-benar bebas kaitannya dengan 1MDB?

Bagaimana pula dengan beberapa siri pendedahan antarabangsa sebelum ini berkaitan kehilangan wang dalam urusniaga antara 1MDB dan PetroSaudi dan terbaru oleh Peguam Negara Switzerland tentang kecurigaan pemindahan wang sejumlah AS$4 bilion, juga berkaitan 1MDB melalui institusi kewangan negara itu?

Dalam hal ini, sebelum terbongkar hakikat sebenarnya, bukankah lebih baik jika Najib segera berterus-terang dan berlaku jujur dengan beliau sendiri mendedahkan anak Raja Abdullah yang mana yang menjadi penderma dan tujuan ia diberikan supaya kita boleh menjangka sama ada berkaitan 1MDB atau sebaliknya?

Sediakah Najib atau akan ada episod putar memutar dan pusing memusing lagi selepas ini?  (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.