`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, December 15, 2017

Mengenal konsep Tuhan daripada Al-Quran

Sebagai insan rasional, kita mencari jawapan di sebalik kewujudan. Jawapan ini terletak di sebalik konsep "menjumpai Tuhan" dalam Al-Quran.
KOMEN
membaca-al-quranAl-Quran boleh dikatakan berpaksi di atas konsep ketuhanan. Maksudnya, semua konsep dalam kitab Allah beredar di sekeliling konsep Tuhan.
Semua aktiviti manusia dinilai sama ada ia bertepatan dengan kehendak Tuhan atau tidak. Perkataan Allah adalah kata nama yang paling banyak muncul iaitu 2,699 kali dan perkataan “rabb” (pemelihara) pula kedua paling banyak iaitu 975 kali. Begitulah penekanan isi Al-Quran kepada konsep Tuhan.
Sesiapa yang pernah menelaah Al-Quran pasti akan faham betapa kompleksnya merumuskan konsept ketuhanan daripada ayat-ayat Al-Quran. Ia kompleks kerana dalamnya Al-Quran tidak terhingga. Kita hanya boleh membuat percubaan sahaja. Mustahil kita dapat merumuskan dengan sepenuhnya.
Pencarian Tuhan dalam hidup manusia ialah proses di mana manusia mencari erti hidup dan mendapati bahawa, tanpa kewujudan Tuhan, hidup ini tidak bermakna. Ini adalah kerana, kehidupan di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Pejam celik pejam celik, umur sudah meningkat dan ajal maut kian menjelang.
Sebagai insan rasional, kita mencari jawapan di sebalik kewujudan. Jawapan ini terletak di sebalik konsep “menjumpai Tuhan” (liqa Allah) dalam Al-Quran. Ia bukan bermaksud yang Tuhan bermanifestasi secara peribadi di alam semesta tetapi kita menjumpai Tuhan dengan merenungi ayat-ayatNya sama ada dalam kitab mahu pun di alam semesta.
Begitu juga konsep keimanan dan keyakinan daam kewujudan Tuhan. Walaupun dalam aktiviti beragama secara rambang konsep ini diambil sebagai sesuatu yang pasti jika sesorang itu dilahirkan dalam keluarga Islam, ia tidak begitu dalam Al-Quran sendiri.
Al-Quran memberi amaran terhadap mereka yang mengikuti nenek moyang tanpa menggunakan akal(2:170, 67:10). Ini bermakna, keimanan itu bukan boleh diwarisi tetapi perlu dicapai melalui proses.
Sebenarnya, program pembangunan manusia dan masyarakat yang disarankan adalah selari dengan mencapai keimanan. Al-Quran mempunyai 88 gelaran terhadap orang yang beriman (“ya ayyuha alladhina amanu”). Jika mereka mematuhi suruhan dalam panggilan ini, mereka akan meningkatkan keimanan mereka sehingga ke tahap di mana mereka akan mencapai keyakinan.
Kita boleh menggambarkan keimanan dan keyakinan sebagai perjalanan dari tahap ke tahap yang lebih tinggi.
Tawhid dari perspektif Al-Quran adalah cara mencapai kehidupan yang hakiki. Penekanan Al-Quran kepada tawhid memang terserlah. Kita difirmankan yang ciptaan kita sendiri adalah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan (51:56). Namun, apakah maksud pengabdian ini dari segi praktikal?
Dalam bahasa seharian, ibadah (iaitu pengabdian dalam bahasa Arab) adalah berkenaan dengan mengotakan ritual-ritual agama. Kita biasa mendengar orang berkata, “Lepas bersara, saya nak beribadat”.
Namun begitu, kita dapati yang ibadah dari perspektif Al-Quran adalah satu cara hidup yang total. Ia merangkumi semua aspek hidup. Kita tidak boleh mengaku beribadat jika kita hanya mengerjakan ritual tetapi menutup mata kepada kezaliman dan korupsi di muka bumi.
Terdapat juga dinamik kewujudan di antara kehendak Tuhan dan kehendak manusia, dan ini amatlah bersangkut-paut dengan retorik yang digunakan dalam politik.
Apabila tragedi berlaku seperti kebakaran sekolah tahfiz dulu, kita biasa mendengar yang ia adalah “takdir Tuhan”. Maksudnya, “Tuhan dah tuliskan, ia pasti berlaku”.
Adakah ini ajaran Al-Quran? Tidak. Al-Quran mengambil posisi yang “takdir” itu adalah ukuran yand diberi Tuhan untuk manusia memberi reaksi yang sepatutnya.
Misalnya, Tuhan memutuskan di mana kita dilahirkan tetapi kita yang memutuskan bagaimana kita menggunakan situasi tersebut untuk melahirkan kehidupan yang paling efektif. Begitulah dinamik kewujudan di antara kehendak Tuhan dan kehendak manusia.
Konsep zat atau realiti alam semesta mungkin yang paling berunsur metafizika. Sifat-sifat Tuhan (al-asma al-husna) memberi gambaran tentang realiti kehidupan manusia. Misalnya, rahmat adalah lebih diangkat Tuhan daripada kemurkaannya. Maka, wajarlah manusia mengejar rahmat daripada mengundang laknat. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.