`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, May 23, 2018

DAP DALAM KONTEKS MEMBINA NEGARA DAN BAGAIMANA TUN M SEDANG CUBA MENGHILANGKAN KETAKUTAN RAKYAT KEPADA PARTI ITU

SERI KEMBANGAN, 13 Mei -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sesi penerangan khas di kediaman beliau hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
DAP selama ini hanyalah berperanan sebagai pembangkang dalam politik negara dan peranan mereka lebih terlihat dalam kecekapan serta keseriusan membangkitkan pelbagai isu demi kepentingan awam tanpa pernah jemu, meski kadangkala ganjarannya adalah lokap atau bermalam penjara.
Meski bertahun-tahun kita menyaksikan DAP memainkan peranan yang berkesan sebagai pembangkang, parti itu juga adalah “punching bag” bagi UMNO dalam usaha menakut-nakutkan orang Melayu agar tidak lari daripada mengundi BN.
Untuk itu, DAP tidak saja sering digambarkan sebagai parti chauvinis Cina yang mengancam ketuanan Melayu, malah kadang-kadang juga dilabel sebagai komunis.
Bagi orang Melayu kampung yang kurang arif bahawa komunisne hanyalah satu bentuk fahaman, tetapi perkataan itu akan langsung dikaitkan dengan gerakan komunis dalam hutan yang sebelum ini pernah memberi ancaman gerila, keganasan serta  pembunuhan dari hutan dan memberi ketakutan kepada orang-orang Melayu.
Dengan itu, selama lebih 60 tahun, setiap kali pilihanraya umum diadakan, UMNO dan BN sentiasa dapat mengekalkan kuasanya dengan antara lain menjadikan DAP sebagai sasaran utama kempennya.
Namun demikian, bermula selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 pada 9 Mei lalu, semua itu pasti akan beruba selepas ini.
DAP bukan saja sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, malah Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad telah memberi kedudukan penting kepada wakil parti itu.
Dalam pembentukan kabinet awal Pakatan Harapan, daripada empat jawatan menteri yang diberikan kepada DAP, dua daripadanya adalah posisi penting dan strategik kepada negara iaitu Kementerian Kewangan yang disandang oleh Lim Guan Eng serta  Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dipegang oleh Gobind Singh Deo, anak kepada mendiang Karpal Singh.
Lantaran itu, perlantikan mereka itu terus menjadi bualan pro dan kontra di mana-mana juga.
Dua lagi jawatan menteri yang dipegang oleh DAP iaitu Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan dan M Kulasegaran sebagai Menteri Tenaga Manusia, tidaklah menjadi isu besar atau diperbualkan sangat kerana selama ini pun wakil daripada MCA, MIC atau lain-lain parti yang biasa memegang jawatan tersebut.
Meskipun di awal kemerdekaan dulu Tun HS Lee dan Tun Tan Siew Sin pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan, tetapi bertahun-tahun kemudian semua pemegang jawatan itu adalah pemimpin Melayu daripada UMNO.
Rakyat Malaysia secara umumnya telah terbiasa bahawa mesti Melayu menjadi Menteri Kewangan, lebih-lebih lagi apabila menunggu detik pembentangan belanjawan negara setiap tahun yang menjanjikan pelbagai habuan, insentif atau pemberian.
Tetapi, tahun ini belanjawan negara tentu bakal dibentangkan oleh Lim Guan Eng, seorang pemimpin Cina daripada DAP.
Begitu juga dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau dulunya Kementerian Penerangan yang antara lain bertanggungjawab menjaga RTM, Jabatan Penerangan, JASA dan sumber berita Bernama, sejak merdeka lagi pemegang jawatannya adalah pemimpin Melayu daripada UMNO.
Namun, dengan Gobind Deo menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kementerian itu buat pertama kali dikendali oleh bukan Melayu, malah daripada DAP.
Apakah signifikannya Tun Mahathir memberi jawatan itu kepada wakil bukan Melayu daripada DAP?
Jika kita masih berfikir dalam kepompong perkauman yang tebal, kita mungkin sentiasa terdorong untuk tidak setuju dengan perlantikan oleh Tun Mahathir itu. Tetapi, jika kita rasional dan menyedari bahawa sama ada Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain adalah rakyat Malaysia juga, pertimbangan kita pasti lebih mudah untuk menerima mereka itu.
Dan itulah yang barangkali cuba ditanamkan oleh Tun Mahathir kepada kita sebagai rakyat Malaysia untuk menuju persaingan yang sihat di hari-hari yang mendatang.
Selagi kita melihat cerminan kaum sebagai asas sesuatu perkara, selagi itulah bibit masalah dan rasa tidak setuju akan terus berakar dalam kepala kita.
Dalam hal ini, daripada langkah awal Guan Eng dan Gobind Deo sebagai menteri pada hari pertama selepas mengangkat sumpah, harus diakui bahawa kedua-duanya terlihat begitu meyakinkan dalam fungsi masing-masing.
Guan Eng dengan pendedahan RM7 bilion wang rakyat untuk menyelamatkan 1MDB di sebalik Najib Razak dan Arul Kanda sebelum ini berdegar-degar mengatakan pelan rasionalisasi telah berjaya serta Gobind Deo mahu menyediakan perkhidmatan jalur lebar internet dengan kelajuan dua kali tanda tetapi pada harga yang diturunkan separuh daripadanya, semua ini pasti memberi kegembiraan serta kelegaan kepada kita.
Terlihat bahawa  meskipun Guan Eng dan Gobind Deo bukan Melayu, kecintaan mereka kepada rakyat dan negara ini tidak berkurang sedikit pun berbanding pemimpin Melayu, malah intergiti dan wibawa mereka mungkin lebih terpuji.
Selepas ini, jika kedua-dua menteri itu terus menunjukkan komitmen dan kecemerlangan dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara, bukan saja nama mereka akan meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia, malah DAP juga akan terpahat menjadi komponen penting dalam catatan sejarah sebagai antara pembina kepada negara ini.
Tidak lain ternampak bahawa Tun Mahathir memberi tugas penting itu kepada DAP, selain bertujuan agar kita menipiskan salut-salut perkauman dalam pemikiran kita, ia juga untuk kita membiasakan menerima DAP sebagai antara penyumbang kepada pembangunan negara, seterusnya membuang ketakutan atau stigma buruk terhadap parti itu.
DAP yang didakwa sebagai chauvinis, perkauman, ektremis dan pengancam kepada orang Melayu akan perlahan-lahan diterima baik oleh seluruh rakyat berdasarkan sumbangannya dalam sama-sama membina negara, malah UMNO dan BN bakal kehilangan senjata utama dalam kempennya mulai pilihanraya akan datang.
Ini satu lagi antara sumbangan terbesar Tun Mahathir buat masa depan rakyat Malaysia, meskipun tempoh masa beliau menerajui kerajaan Pakatan Harapan baru saja mencecah dua minggu.
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.